KPDN kesan ketirisan subsidi cecah RM260 juta

LocalPolitics
24 Apr 2026 • 5:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KPDN kesan ketirisan subsidi cecah RM260 juta
Azman menunjukkan data yang diperoleh pihaknya menerusi tindakan penguatkuasaan.

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan ketirisan subsidi mencecah RM260 juta menerusi operasi penguatkuasaan bahan api dan barangan kawalan sejak 2023, dengan majoriti pelaku melibatkan rakyat tempatan.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, sebanyak 6,773 kes direkodkan di bawah Ops Tiris, dengan 2,219 tangkapan dilakukan setakat ini.

“Daripada jumlah tangkapan itu, hampir 80 peratus melibatkan warganegara Malaysia sendiri,” katanya dalam sidang akhbar Pencapaian Penguatkuasaan Ops Tiris 2025 - Mac 2026 di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu dengan agensi penguatkuasa lain sejak 16 Mac lalu telah menghasilkan 377 kes dalam tempoh sebulan, dengan nilai rampasan hampir RM17 juta.

Katanya, kes berkaitan diesel kekal paling tinggi dengan 166 kes melibatkan 1.126 juta liter, diikuti petrol (78 kes) dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 49 kes.

"Untuk kes diesel, negeri paling tinggi dari segi kesalahan melibatkan diesel Sarawak. Setakat ini ada 57 kes dalam masa sebulan yang dihasilkan di sana.

"Diikuti di Sabah, Kelantan dan juga Johor. Jadi itu adalah kawasan-kawasan yang banyak menghasilkan kes-kes yang melibatkan diesel," jelas beliau.

Azman berkata, pihaknya merekodkan kes tertinggi melibatkan petrol di Kelantan sementara Sabah merekodkan penyelewengan tong gas petroleum cecair (LPG).

"Jadi apa maksudnya daripada data-data yang saya sebutkan tadi? Yang pertama, tumpuan kerajaan pada negeri sempadan ni pada saya adalah sangat bertepatan kerana data penguatkuasaan yang berada di KPDN selaku Sekretariat Jawatankuasa Penyelarasan Agensi Penguatkuasaan ini menunjukkan kes-kes yang tertinggi memang berlaku di negeri sempadan," jelasnya.

Menurut beliau, jurang harga bahan api antara Malaysia dan pasaran industri atau negara jiran menjadi pemangkin utama aktiviti tersebut.

"Bayangkan harga diesel untuk fleet card RM2.15, tetapi harga industri sekarang ini boleh mencecah antara RM7 hingga RM8. Jadi jurang harga yang sangat besar tersebut menyebabkan mereka menyeleweng,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan memperketat kawalan termasuk menempatkan pegawai di lapan pintu masuk sempadan (ICQS) serta memantau 151 stesen minyak berisiko tinggi.

Dalam tempoh sama, sebanyak 124,477 kenderaan diperiksa di pintu sempadan yang menghasilkan 14 kes setakat ini.

Azman turut mendedahkan pelbagai modus operandi sindiket, termasuk penggunaan fleet card secara berulang, pengubahsuaian tangki kenderaan dan pembelian berulang di stesen minyak sebelum bahan api dikumpul serta dijual semula kepada industri.

“Ada yang menggunakan tangki tambahan, ada juga yang menggunakan kenderaan-kenderaan yang bertutup dan ada menggunakan tangki yang lebih besar daripada kapasiti sebenar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, penguatkuasaan terhadap penjualan minyak masak paket kepada warga asing serta larangan penggunaan RON95 oleh kenderaan asing menunjukkan kesan positif apabila aduan semakin berkurangan.

Katanya, hanya tiga kes direkodkan melibatkan penjualan minyak masak kepada warga asing sejak peraturan dikuatkuasakan 1 Mac lalu.

Selain itu, KPDN turut memperkukuh pemantauan digital dengan menyekat 1,347 laman sesawang dan menurunkan 746 kandungan iklan yang disyaki berkaitan penipuan dan penjualan barangan bersubsidi secara tidak sah.

"Kecemerlangan kementerian membanteras cetak rompak digital melalui site blocking telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Asia Video Industry Association telah menjadikan KPDN sebagai penanda aras serantau.

"Pencapaian ini membuktikan kredibiliti KPDN dalam mengimbangi kepantasan teknologi dengan ketegasan penguatkuasaan, sekali gus melindungi industri hak cipta dan ekosistem e-dagang negara daripada ancaman siber," katanya.

Dalam aspek kawalan harga, beliau berkata, sebanyak 131 kes pencatutan direkodkan tahun lalu, manakala 19 kes dikesan setakat tahun ini, dengan kompaun berjumlah RM142,000.

“Sebanyak 1,443 notis telah dikeluarkan dan siasatan masih berjalan bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tahap pematuhan peniaga mencecah 95 peratus, KPDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.

Mengulas kekangan, Azman memaklumkan Bahagian Penguatkuasa hanya mempunyai sekitar 2,400 pegawai di seluruh negara untuk menguatkuasakan 14 akta utama.

“Cabaran memang besar, tetapi kita akan terus memperkukuh penguatkuasaan termasuk melalui teknologi seperti kecerdasan buatan dan sistem bagi mengekang ketirisan subsidi,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama orang ramai dan industri amat penting dalam memastikan usaha membanteras penyelewengan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.