KPDN lupus barang rampasan bernilai RM38.53 juta

22 Nov 2023 • 4:00 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melupuskan pelbagai jenis barangan rampasan bernilai RM38.53 juta membabitkan pelbagai kesalahan di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Okt lepas.

Ketua Setiausaha KPDN Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar berkata ia adalah hasil tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan pihaknya termasuk berkaitan bekalan, harga, antipencatutan, ketirisan, cetak rompak dan barang tiruan.

“Selain itu, RM8.22 juta kompaun dikeluarkan melibatkan 8,519 kes manakala 96 kes dikenakan tindakan pendakwaan dengan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM2.3 juta dalam tempoh yang sama.

“Berdasarkan kes pengkompaunan dan pendakwaan itu, 1,490 kes melibatkan barang sitaan dilupus dan dijadikan hasil kerajaan iaitu hasil kutipan sementara bernilai RM5.51 juta, jualan lelong, sebut harga, tender dan jualan terus (RM3.44 juta) serta pemusnahan barang-barang kes (RM29.58 juta),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana di sebuah pusat kualiti alam yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam di sini hari ini.

Pada majlis itu, barang rampasan berkaitan dakwat mesin pencetak dilupuskan mengikut Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815) dan Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) bernilai RM2.9 juta membabitkan sembilan kes.

Mohd Sayuthi berkata dalam tempoh sama sebanyak 713,745 premis diperiksa di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 10,937 kes diambil tindakan melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM82.14 juta. -Bernama