KPDN Perak sita 432 tong LPG subsidi di ladang ayam Manjung

LocalBusiness & Finance
1 Aug 2025 • 8:52 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 432 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi 14 kilogram (kg) pelbagai jenama dalam serbuan di sebuah ladang ternakan ayam di Segari, Manjung. Operasi itu dilakukan semalam hasil maklumat risikan dan pemantauan selama seminggu.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, berkata tong LPG itu digunakan tanpa kebenaran untuk tujuan pemanasan dalam beberapa reban ayam. “Serbuan ini juga menemukan sebuah lori milik syarikat pembekal LPG yang sedang memunggah tong gas ke dalam reban,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan lanjut mendapati LPG tersebut digunakan untuk tujuan perniagaan tanpa permit daripada Pengawal Bekalan. Dua lelaki tempatan berusia 50 dan 40 tahun, iaitu pengurus ladang dan pemandu lori, ditahan untuk membantu siasatan.

KPDN turut merampas buku resit dan beberapa dokumen berkaitan, dengan nilai anggaran rampasan mencecah RM76,051. Pemilik ladang disyaki melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana menyimpan barang kawalan berjadual tanpa permit.

Pembekal LPG yang terlibat juga akan disiasat atas kesalahan menjual barang kawalan berjadual kepada pihak tidak dibenarkan di bawah Peraturan 9(2) PPKB 1974. - Bernama