

KPDN Perluas Program Pengedaran Barang Perlu, LPG Dan Community Drumming Di Sabah
KINABATANGAN, 29 JULAI 2024 – Selain merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Ke-58 Tahun Sekolah Kebangsaan Abai, Kinabatangan, hari ini saya juga telah menyerahkan Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) untuk pengoperasian secara rasmi Program Pengedaran Barang Perlu, Gas Cecair Petroleum (LPG) dan Community Drumming bagi Zon Abai, Kinabatangan, Sabah.
Dalam pembentangan Belanjawan Persekutuan 2024, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan telah mengumumkan Kerajaan akan memperluaskan pelaksanaan program ini dengan menambah dua lagi zon baharu di Sabah iaitu Zon Abai, Kinabatangan dan Zon Gana, Kota Marudu.
Pemilihan Kampung Abai sebagai zon baharu pelaksanaan program ini adalah untuk memastikan 350 orang penduduk di kawasan ini mempunyai akses kepada barang perlu, barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi dengan harga yang sama seperti di bandar Sandakan.
Antara barang-barang yang terlibat adalah beras, gula putih bertapis, tepung gandum, minyak masak, LPG, petrol RON95 dan diesel ke kawasan pedalaman dan luar bandar yang tersenarai.

Sebelum peluasan program ini, penduduk Kampung Abai memperoleh barang keperluan seperti minyak masak paket dan gula putih bertapis pada harga RM 3.50 berbanding harga kawalan RM2.50 dan RM2.85. Bagi LPG, penduduk membeli dengan kadar RM45/tong, berbanding harga kawalan RM26.60/tong.


Bagi tahun 2024, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM225 juta untuk pelaksanaan program ini yang melibatkan enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah.
Ini melibatkan pemberian subsidi Kerajaan melalui pelantikan syarikat transporter yang memberikan perkhidmatan mengangkut barang-barang perlu dan barang kawalan yang terpilih daripada pusat/sumber bekalan (point of source) kepada pusat penjualan (point of sale).
Bagi Negeri Sabah, Program Penyeragaman Harga bagi Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming meliputi 71 zon yang melibatkan bilangan sebanyak 219 kawasan pengedaran serta 654 point of sale dengan peruntukan sebanyak RM79.7 juta.

Ini telah memberi impak positif kepada lebih 529,948 populasi di negeri ini. Manakala di Sandakan, program yang melibatkan 19 zon meliputi 51 kawasan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada 109,314 penduduk luar bandar, tetapi golongan peniaga kecil turut menikmati limpahan rezeki.
Program Penyeragaman Harga bagi Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming yang dilaksanakan oleh KPDN adalah manifestasi keprihatian Kerajaan MADANI untuk mengimbangi keperluan rakyat di samping meningkatkan lagi keberkesanan pemberian perkhidmatan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup.
The post KPDN Perluas Program Pengedaran Barang Perlu, LPG Dan Community Drumming Di Sabah appeared first on Siakap Keli.

