

KPDN Perluaskan Kaedah Pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Melalui PJRM@Kampus
KUALA LUMPUR, 19 NOVEMBER 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkasa peranan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) yang dianggotai kalangan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebagai usaha meningkatkan advokasi kepenggunaan dalam masyarakat.
Mengambil kira peranan penting golongan mahasiswa dalam masyarakat, KPDN turut menggariskan GPS sebagai salah satu rakan strategik dalam mengerakkan inisiatif Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR). Ini kerana GPS berupaya menjadi wahana untuk menggerakkan partisipasi golongan mahasiswa dalam gerakan ini sekali gus memacu partisipasi awam yang merupakan salah satu komponen utama pelaksanaan melalui kerjasama strategi antara Kerajaan (K), Industri (I), Tatakelola (T) dan Awam (A).
Pada masa yang sama, KPDN juga akan memperkukuh peranan GPS sebagai salah satu pemegang taruh dalam menggerakkan salah satu kefungsian utama KPDN iaitu agenda menangani isu kos sara hidup. Antaranya, KPDN akan melibatkan GPS dalam proses penambahbaikan inisiatif sedia ada kementerian antaranya melalui pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM).

Sebagaimana yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, Kerajaan Madani telah meningkatkan peruntukan bagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Payung Rahmah daripada RM200 juta kepada RM300 juta dalam Belanjawan 2025, iaitu penambahan sebanyak RM100 juta berbanding tahun 2024. Sehubungan itu, KPDN sedang dalam proses memperkemas dan menambah baik inisiatif-inisiatif yang digariskan khususnya Program Jualan Rahmah Madani (PJRM). Ini termasuk aspek kaedah dan mekanisme pelaksanaan serta perluasan kumpulan sasar.
Selain kaedah-kaedah sedia ada, antara penambahbaikan yang telah digariskan adalah pelaksanaan kaedah baharu iaitu penganjuran PJRM@Kampus. Kaedah ini diputuskan dengan objektif untuk memperluaskan kumpulan sasar penerima manfaat kepada golongan mahasiswa yang memerlukan di institusi pengajian tinggi (IPT).

Sehubungan itu, saya telah memberikan mandat kepada GPS untuk mengemukakan cadangan mekanisme pelaksanaan PJRM@Kampus khususnya jenis barangan yang wajar ditawarkan yang bersesuaian dengan keperluan golongan sasar dalam kalangan mahasiswa. KPDN menyasarkan untuk memulakan PJRM@Kampus bermula awal tahun hadapan secara berperingkat dan mengikut kesesuaian jadual IPT yang ingin terlibat.
Bagi tahun 2024 bermula dari 1 Januari hingga 18 November 2024, sebanyak 9,786 program PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara yang telah merekodkan seramai 9,306,217 pengunjung. Daripada jumlah ini sebanyak 3,815 PJRM diadakan melalui kaedah secara dalam premis, 612 bagi luar premis dan 5,359 kali secara bergerak.
The post KPDN Perluaskan Kaedah Pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Melalui PJRM@Kampus appeared first on Siakap Keli.



