KPDN, PGA rampas 7,700 liter Diesel bersubsidi di Port Dickson

1 Jun 2023 • 3:39 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEREMBAN: Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Port Dickson serta anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras merampas 7,700 liter diesel bersubsidi dalam serbuan Ops Tiris di sebuah premis terbuka di Kampung Sendayan, Batu 10, Port Dickson, semalam.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan berkata operasi pada 8.20 malam itu turut menyita satu lori tangki, satu lori satu tan dan tiga tong ‘intermediate bulk containers’ (IBC) dengan keseluruhan rampasan dianggar berjumlah RM34,055.

Beliau berkata tindakan sitaan dibuat bagi kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

“Pemeriksaan menyeluruh terhadap premis itu mendapati sedang berlaku proses pemindahan minyak diesel dari tong IBC yang berada di dalam lori ke dalam lori tangki. Tiga lelaki tempatan turut ditahan di lokasi berkenaan bagi membantu siasatan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Zahir, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti itu serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuk sumber minyak diperoleh dan diedarkan.

Beliau berkata sejak awal bulan ini, KPDN negeri merampas 379,460 liter diesel bersubsidi bernilai RM815,839.- Bernama