KPDN Pulau Pinang Rampas Karya Muzik Disyaki Salinan Langgaran Bernilai RM114,000

11 Apr 2023 • 9:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pemeriksaan di pusat hiburan yang menyediakan perkhidmatan karaoke itu telah menemui dalam  milikan karya muzik yang disyaki salinan langgaran - Gambar Hiasan Unsplash

BUTTERWORTH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyerbu sebuah pusat hiburan dan menyita karya muzik yang disyaki salinan langgaran serta pelbagai peralatan yang kesemuanya bernilai RM114,000 dalam serbuan di Taman Limbungan Indah, di sini semalam.

Pengarahnya S.Jegan berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, pihaknya bersama Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) telah menjalankan serbuan di premis hiburan itu pada 5.22 petang semalam.

"Pemeriksaan di pusat hiburan yang menyediakan perkhidmatan karaoke itu telah menemui dalam  milikan karya muzik yang disyaki salinan langgaran dan hasil pemeriksaan lanjut kami menyita beberapa peralatan karaoke iaitu sistem karaoke yang mengandungi 32,000 karya muzik di dalam "hard disk" yang disyaki salinan langgaran bernilai RM3.00 setiap lagu.

"Kami juga merampas masing-masing satu unit amplifier, processor, mikrofon receiver, televisyen, pembesar suara, mikrofon dan alat kawalan jauh televisyen yang kesemuanya bernilai RM114,000 termasuk karya muzik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Akta Hak cipta 1987. - Bernama