
GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 32 telefon bimbit dan 57 pelbagai aksesori telefon bimbit jenama Oppo dipercayai tiruan bernilai RM15,523 dalam serbuan semalam.
Pengarahnya S.Jegan (gambar) berkata pihaknya menerima aduan daripada wakil syarikat menjual telefon bimbit itu sebelum menyerbu lima premis perniagaan di sekitar Bukit Jambul dan bandar raya ini bermula 11 pagi.
“Hasil pemeriksaan terhadap kesemua premis itu, KPDN merampas 32 telefon bimbit dan 57 aksesori telefon jenama Oppo dipercayai tiruan iaitu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah di bawah Akta Cap Dagang 2019.
“Selain itu, beberapa dokumen lain turut dirampas,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
KPDN, katanya memberi peringatan dan amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan aktiviti menjual barang yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah. -Bernama
