KPDN Sabah ambil tindakan aduan ‘dalam sotong ada ikan’

LocalFood
20 Jun 2026 • 3:05 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

KPDN Sabah ambil tindakan aduan ‘dalam sotong ada ikan’

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah bertindak pantas dan proaktif susulan aduan tular di media sosial berkaitan dakwaan sotong yang dijual di Pasar Besar Kota Kinabalu mengandungi ikan di dalamnyaPengarah KPDN Sabah Shahril Nizam Shahidin berkata sepasukan operasi KPDN Sabah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta mendapatkan penjelasan daripada peniaga yang terlibat.

“Hasil siasatan awal mendapati peniaga memaklumkan bahawa keadaan itu bukan dilakukan secara sengaja bagi menambah berat timbangan, sebaliknya menurut peniaga, ikan dan sotong yang ditangkap secara bercampur dan berkemungkinan terdapat ikan yang masih hidup memasuki rongga badan sotong semasa berada dalam hasil tangkapan sebelum dipasarkan.

“Selain itu, bahagian dalam sotong sememangnya mengandungi sisa makanan daripada habitat semula jadinya yang dalam keadaan tertentu masih boleh menyerupai bentuk seekor ikan yang belum hadam sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.

Sharil berkata pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh KPDN Sabah mendapati peniaga terlibat secara keseluruhannya mematuhi perundangan di bawah bidang kuasa KPDN.

Katanya, pemeriksaan dijalankan pihaknya turut mendapati tanda harga dipamerkan dengan jelas kepada pengguna manakala alat timbang yang digunakan masih mempunyai sijil penentusahan yang sah dan berada dalam tempoh yang dibenarkan.

Bagaimanapun katanya, KPDN telah memberikan teguran serta nasihat kepada peniaga supaya menjalankan pemeriksaan yang lebih teliti terhadap semua hasil dan produk makanan laut sebelum dipasarkan kepada pengguna.

“Langkah ini penting bagi memastikan produk yang dijual berada dalam keadaan baik, mengelakkan kekeliruan pengguna serta meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap amalan perdagangan yang dijalankan.

“KPDN Sabah akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat bukti berlakunya pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa kementerian.

“Selain itu, pengguna juga disaran menyalurkan sebarang aduan melalui saluran rasmi KPDN bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” tegasnya.

Terdahulu, tular perkongsian seorang pengguna media sosial yang menemui dua ekor di dalam setiap sotong yang dibeli di Pasar Besar Kota Kinabalu hingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.

Hantaran dan foto yang dimuatnaik pemilik akaun @Haiiiiyaa2025 di laman Threads, mendakwa menemui dua ekor ikan basung yang hampir sama saiz hingga menimbulkan keraguan sama ada dilakukan secara sengaja oleh penjual terbabit bagi menambah berat sotong supaya dapat keuntungan lebih besar.