KPDN Sandakan gagalkan cubaan seleweng diesel

23 Dec 2022 • 3:31 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan berjaya membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi sebanyak 6,660 liter dalam dua kes melalui operasi Ops Samar di sebuah stesen minyak di Pekan Beluran, Rabu lepas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Sandakan, Azdy Zukkry [email protected] Zukkry Abdullah, berkata siasatan awal mendapati minyak berkenaan dipercayai cuba dijual di kawasan estet atau ladang oleh pihak terbabit.

Menurutnya, dalam sehari, pihak berkenaan membuat pengisian semula sekitar lima ke enam kali di stesen minyak.

“Ini didorong oleh hakikat bahawa minyak diesel mendapat permintaan tinggi disebabkan perbezaan harga ketara antara industri dan bersubsidi.

Semasa operasi itu, KPDN Sandakan menahan seorang suspek warga tempatan berumur 50an yang sedang mengisi minyak diesel bersubsidi dari pam ke dalam tong berwarna biru di atas lori.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kebenaran bertulis ataupun dokumen untuk melakukan aktiviti itu.

“Suspek itu ditahan untuk dirakam percakapan dan dilepaskan dengan jaminan polis dan akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Pada masa sama, katanya, sebuah lori lain ditemukan di tempat berhampiran dengan muatan tong biru berisi minyak diesel.

Pemandu lori itu dipercayai berada di kawasan berdekatan dan melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota KPDN.

“Semua barangan kes telah disita termasuk dua buah lori dan 34 tong biru berisi minyak diesel sebanyak 4,660 liter,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Nilai rampasan minyak diesel bersubsidi dan kenderaan yang disita itu dianggarkan RM110,019.

Azdy berkata, siasatan lanjut akan dibuat di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Stesen minyak itu juga akan diambil keterangan kerana membenarkan individu berkenaan mengisi minyak diesel tanpa dokumen yang sah,” katanya sebelum menambah, serbuan sekitar jam 3 petang itu, membabitkan enam anggota penguatkuasa KPDN Sandakan dibuat selepas pemantauan dan risikan selama tiga hari.

Dalam pada itu, Azdy menyarankan orang ramai agar terus menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan berkongsi maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi dengan KPDN termasuk melalui WhatsApp (019-279 4317), portal aduan (eaduan.kpdnhep.gov.my), juga pusat panggilan 1-800-886-800.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.