KPDN serbu stesen minyak, patah cubaan seleweng diesel

LocalPolitics
4 Apr 2026 • 4:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Penguat kuasa KPDN serbu stesen minyak sebelum bongkar aktiviti cubaan seleweng diesel di Sandakan.

SANDAKAN - Tindakan dua lelaki cuba menyeleweng diesel di sebuah stesen minyak di sini gagal apabila diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.12 pagi itu, dua lelaki berusia 34 dan 49 tahun ditahan bersama 120 liter diesel menerusi serbuan Ops Tiris 4.0 yang dijalankan di daerah itu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Sandakan, Joe Azmi Jamil berkata, dalam operasi itu pihaknya mengesan terdapat tujuh jerikin mengandungi bahan api yang disimpan di bahagian belakang pacuan empat roda.

"Hasil pemeriksaan terdapat sebanyak 120 liter minyak diesel bersubsidi yang terkandung di dalam tujuh jerikin yang diangkut di bahagian belakang kenderaan tersebut.

"Terdapat dua suspek terdiri lelaki tempatan dan asing yang disyaki terlibat didapati tidak memiliki sebarang kebenaran atau permit untuk membuat pembelian minyak diesel bersubsidi tersebut, " katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau lagi, bahan api itu kemudian disita bersama kenderaan tersebut dan anggaran rampasan keseluruhan RM70,258.

"Kedua-dua lelaki tersebut turut ditahan manakala pengusaha stesen minyak yang terlibat akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.