KPDN teliti tindakan MITA naikkan tambang siling bas, van persiaran

LocalPolitics
31 Mar 2026 • 3:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Armizan

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang meneliti tindakan Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) yang mengumumkan kadar tambang siling baharu bagi bas dan van persiaran berkuat kuasa serta-merta susulan kenaikan kos bahan api.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, meskipun kenaikan harga diesel mendatangkan implikasi kos kepada industri, namun semua pihak diharap meneliti sebarang tindakan yang diambil untuk memastikan kepatuhan kepada mana-mana kerangka perundangan yang sedang berkuat kuasa.

Tegas beliau, sebarang bentuk perjanjian, persefahaman atau keputusan bersama oleh persatuan berkaitan penetapan harga, termasuk tambang minimum atau siling, adalah dilarang.

"Ia mengandungi elemen kartel yang menjejaskan pasaran pelancongan negara. MyCC sedang meneliti tindakan persatuan-persatuan ini di bawah Seksyen 4(2)(a), Akta Persaingan 2010," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, MITA mengumumkan kadar tambang siling baharu bagi bas dan van persiaran, berkuat kuasa serta-merta bagi membantu operator dan pelancong menyesuaikan diri dengan kenaikan harga diesel.

Dalam kenyataannya, MITA memaklumkan langkah ini diambil ekoran bas dan van persiaran serta feri tidak dimasukkan dalam mekanisme subsidi diesel negara sejak subsidi pukal dimansuhkan pada 2024.

Kadar tambang bas persiaran kini ditetapkan sehingga RM1,100 bagi siri lawatan dan antara RM1,900 hingga RM2,200 untuk lawatan harian domestik, manakala kos sewaan van pula adalah sehingga RM900 bagi siri lawatan.

Perjalanan bas dari Kuala Lumpur ke Kelantan akan menelan belanja sebanyak RM2,400, manakala perjalanan ke Pulau Pinang dan Ipoh pula berharga RM1,900.

Harga diesel telah meningkat sebanyak RM2.40 kepada sekitar RM5.52 seliter sepanjang tiga minggu lalu berikutan konflik geopolitik di Asia Barat.