KPDN tempatkan 30 penguat kuasa di tiga ICQS di Kelantan

8 Feb 2024 • 5:18 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BACHOK: Sebanyak 30 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan telah ditempatkan di tiga pintu masuk utama ke negara ini di sempadan Malaysia-Thailand bermula 1 Feb lepas.

Pengarahnya Azman Ismail (gambar) berkata kesemua mereka akan ditugaskan secara statik dan mengikut syif di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

“Bagi angggota di ICQS Rantau Panjang mereka akan bertugas dua syif kerana pintu sempadan dibuka mulai 7 pagi hingga 10 malam, manakala bagi ICQS Bukit Bunga dan ICQS Pengkalan Kubor masing-masing satu syif kerana sempadan ditutup pada 7 malam.

“Setakat ini belum ada kes cubaan membawa keluar barangan keluar kerana secara logiknya keberadaan anggota di situ menghindar tindakan pihak yang cuba menyeludup keluar barangan bersubsidi,” katanya selepas sesi “walkabout” Pematuhan Skim Harga Maksimun Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2024 di Jelawat, di sini hari ini.

Menurutnya tindakan itu dilakukan sebagai pemantauan isu melibatkan penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi di negara ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata penempatan pegawai dan anggota KPDN itu akan dikekalkan hingga penubuhan agensi tunggal sempadan (SBA) dilaksanakan oleh kerajaan.

Sementara itu, katanya isu kekurangan minyak masak bersubsidi tidak timbul kerana bekalan sedia ada amat mencukupi.

Menurutnya di Kelantan terdapat 17 syarikat pembungkusan semula telah dilantik, justeru isu kekurangan minyak masak bersubsidi satu kilogram tidak sepatutnya timbul.

“Kesemua syarikat pembungkusan semula ini akan mengagihkan bekalan tersebut untuk keperluan pengguna di Kelantan yang di anggarkan melebihi 2.6 tan metrik sebulan.

“Kekurangan yang berlaku sebelum ini mungkin akibat sedikit kelewatan yang berpunca antaranya wujudnya peruncit yang tidak memiliki lesen bagi barangan kawalan seperti minyak masak. Namun bagi minyak masak botol tidak timbul sebarang isu dan boleh diperolehi secara mudah di pasaran,” katanya. -Bernama