KPDN Terengganu Rampas 21,000 Liter Minyak Diesel Bersubsidi  

16 Mar 2023 • 3:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Lori tangki yang digunakan dalam aktiviti membawa minyak diesel di tapak projek pembinaan di Kuala Dungun, Terengganu turut dirampas. - Gambar ihsan KPDN Terengganu

KUALA LUMPUR - Tindakan pengurusan tapak projek pembinaan di Kuala Dungun, Terengganu menggunakan minyak diesel bersubsidi untuk aktiviti di situ terbongkar, apabila ia diserbu pihak berkuasa yang turut merampas sejumlah 21,000 liter bahan bakar itu, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya turut merampas sebuah lori tangki dan sebuah skid tank, dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM102,580.

Menurutnya, rampasan tersebut dilakukan menerusi Ops Tiris pada jam 11.40 pagi, susulan pihak terbabit disyaki menggunakan minyak diesel bersubsidi di tapak pembinaan tersebut.

“Serbuan dijalankan empat pegawai penguat kuasa KPDN Terengganu, selepas mendapati berlakunya aktiviti mencurigakan kerana memiliki atau ada dalam kawalan barang kawalan, iaitu diesel dengan keadaan menimbulkan syak untuk melakukan kesalahan.

“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan di lokasi kejadian menemukan sebuah lori tangki dan skid tank berisi minyak diesel.

“Dianggarkan terdapat lebih kurang 13,000 liter minyak diesel di dalam skid tank dan lebih kurang 8,000 liter minyak diesel di dalam lori tangki tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

image is not available
KPDN Terengganu turut merampas skid tank yang digunakan dalam aktiviti membawa minyak diesel di tapak projek pembinaan di Kuala Dungun, Terengganu. - Gambar ihsan KPDN Terengganu

Susulan serbuan itu, Saharuddin berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an yang disyaki bekerja sebagai penyelia tapak projek di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Jelasnya, KPDN Terengganu melakukan risikan selama seminggu sebelum membongkar kegiatan menyalahi undang-undang tersebut.

“Ops Tiris dilaksanakan dengan tujuan bagi membendung masalah ketirisan subsidi diesel.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM2 juta,” katanya. - Getaran, 16 Mac 2023