KPDN tiada kuasa pertimbang lesen import produk Israel

LocalPolitics
14 Mar 2024 • 11:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Armizan menjelaskan, kementerian itu hanya boleh memantau khususnya produk kurma yang dilaporkan dijual di negara ini.

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak mempunyai kuasa untuk mempertimbangkan lesen bagi mengimport sebarang produk dari Israel.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan, kementerian itu hanya boleh memantau khususnya produk kurma yang dilaporkan dijual di negara ini.

“Di bawah perintah JKDM (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) Larangan Mengenai Import 2023, sebagaimana terkandung dalam Jadual 2, KPDN tidak mempunyai bidang kuasa untuk mempertimbangkan lesen import apa-apa produk daripada Israel. Ini bermaksud ia di luar bidang kuasa KPDN.

“Sebagaimana kekhuatiran (ahli Parlimen) Hulu Terengganu, kita akan terus memantau di pasaran melalui pelbagai akta yang terdapat di KPDN, khususnya Akta Perihal Gagangan untuk memastikan sekiranya terdapat pasaran kurma (dari Israel) berkenaan berlegar ditawarkan kepada pengguna," katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai tindakan yang telah diambil susulan pembongkaran terdapat penjualan kurma dari Israel yang jelas bertentangan dengan pendirian negara yang menyekat perdagangan serta ekonomi rejim itu.

Sebelum ini media melaporkan, 73 pek kurma 'Organic Jumbo Medjool Dates' dipercayai diimport dari Israel dirampas dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Klang, Selangor.

Rampasan berkenaan melibatkan pek kurma seberat 14.6 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM678 dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah II Selangor susulan video tular dalam media sosial.

Sementara itu, Armizan turut menegaskan, KPDN turut memasukkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memantau produk berkaitan dalam Op Pantau yang diadakan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

"Kita memasukkan dalam SOP dan terma rujukan Op Pantau untuk melihat secara terperinci mengenai jualan kurma yang didakwa dan kita berharap kerjasama daripada seluruh masyarakat serta aduan daripada awam melalui platform rasmi kementerian,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved