
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah premis di Estet Perindustrian Bemban 3, Batu Gajah, Perak pada Sabtu lepas.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Azman Adam berkata seorang lelaki tempatan yang mengaku sebagai penyelia syarikat yang berada di premis terbabit bersama beberapa tangki kosong dan berisi minyak diesel ketika anggota penguat kuasa KPDN melakukan serbuan pada kira-kira 2 petang, ditahan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas premis dan tangki terbabit, pasukan serbuan menemui minyak diesel berjumlah 38,000 liter selain pam bermotor, meter aliran dan peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyelewengan bahan bakar tersebut.
“Pihak premis juga gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berhubung kebenaran untuk berurusan berkaitan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata minyak diesel, pam bermotor, telefon bimbit serta peralatan lain yang ditemukan di lokasi serbuan disita bagi siasatan lanjut, dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM95,000.
Azman berkata kertas siasatan dibuka di bawah AKB 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti tersebut serta rantaian pengedarannya termasuk sumber minyak diesel itu diperoleh dan diedarkan.
Beliau berkata syarikat tersebut juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613), iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti penyelewengan berkaitan minyak diesel itu.
“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket serta aktiviti haram ini dan tindakan tegas akan diambil termasuk mendakwa di mahkamah,” katanya.-Bernama
