KPDNHEP Selangor tumpas kegiatan seleweng diesel bersubsidi RM1.7 juta

19 Jul 2022 • 7:02 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi bernilai RM1.7 juta ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dalam satu serbuan, semalam.

Pengarah Penguatkuasanya Azman Adam berkata serbuan sekitar jam 11 malam di sebuah premis di Kampung Baru Subang dekat sini turut membabitkan kerjasama polis Bukit Aman.

“Kita berjaya menyita empat lori tanker dan dua kereta selain enam tangki minyak diesel berisi anggaran 40,300 liter,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

“Berdasarkan siasatan awal, anggaran jumlah keseluruhan minyak diesel melebihi 100,000 liter dengan anggaran nilai lebih RM200,000.”

Menurutnya, sembilan lelaki termasuk seorang warganegara Bangladesh turut ditahan bagi membantu siasatan kerana premis dan pelaku tidak memiliki sebarang lesen, permit atau permit khas mahupun surat kebenaran bagi urusan barang kawalan berjadual.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Selain itu, turut diambil tindakan mengikut Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di mana-mana premis selain dari premis yang dilesenkan atau premis yang dibenarkan.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.