KPDNHEP sita 21,000 liter diesel bersubsidi cuba diseleweng, tahan empat lelaki

30 Aug 2022 • 3:54 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menyita 21,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM45,150 yang cuba diseleweng dalam serbuan di sebuah bengkel Jalan Paboi, Simpang Ampat dekat sini malam tadi.

Pengarahnya S.Jegan berkata empat lelaki berusia 30 hingga 50-an turut ditahan dalam serbuan oleh sepasukan penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang pada pukul 11.30 malam di bengkel membaiki kenderaan itu, hasil maklumat awam dan risikan sejak seminggu lepas.

Katanya semasa serbuan, empat lelaki itu didapati sedang menjalankan kerja-kerja memindahkan minyak diesel bersubsidi dari sebuah lori berkapasiti 10 tan yang telah diubah suai di bahagian belakang dengan tangki-tangki aluminium, ke sebuah lori tangki yang terdapat di situ.

“Pemeriksaan mendapati terdapat minyak diesel yang dianggarkan 5,000 liter minyak diesel dalam lori berkenaan, dan 10,000 liter yang telah dipindahkan ke dalam lori tangki,“ katanya pada sidang akhbar di Stor KPDNHEP di Bukit Minyak, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menemui sebuah lagi lori diubah suai, yang membawa minyak diesel dianggarkan 6,000 liter di dalam tangki di bahagian belakangnya.

Katanya suspek disyaki menggunakan dua lori yang telah diubah suai untuk membeli diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak di seluruh Pulau Pinang sebelum memindahknya ke lori tangki, dan seterusnya dijual kepada pihak industri dengan harga lebih mahal.

“Modus operandi sindiket itu ialah membeli bekalan minyak diesel di stesen-stesen minyak pada waktu lewat malam hingga awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, dan mereka dipercayai mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata dua lori serta sebuah lori tangki yang disita dalam serbuan itu dianggar bernilai RM70,000.-Bernama