johardy28/11/2026 - 10:39 Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim bersama Tan Sri Dr Ismail Bakar, Pengerusi KPJ Healthcare Berhad (kiri) and Professor Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid, Pengawai Pimpinan KPJ Healthcare Berhad (kanan) pada majlis pelancaran rasmi KPJ Care Network, yang menandakan satu pencapaian penting dalam transformasi KPJ Healthcare ke arah sebuah sistem kesihatan bersepadu. Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Nov - KPJ Healthcare Berhad melancarkan KPJ Care Network sebagai sebahagian daripada usaha membentuk sistem kesihatan bersepadu, bermula dengan platform rujukan digital yang telah menerima pendaftaran lebih 3,600 pengamal perubatan am (GP).
KPJ Healthcare, rangkaian hospital swasta terbesar di Malaysia dan penyedia penjagaan kesihatan swasta pertama di negara ini yang menubuhkan Sistem Kesihatan Akademik, berkata pelancaran itu menandakan peralihan daripada rangkaian hospital yang masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri kepada satu sistem bersepadu.
Pesakit boleh mendapatkan khidmat kepakaran di seluruh kumpulan tanpa mengira fasiliti KPJ yang pertama kali mereka kunjungi.

KPJ Health System (KPJHS) menggabungkan amalan klinikal, pendidikan, penyelidikan dan inovasi untuk memperkukuh penjagaan di seluruh kumpulan. KPJ Care Network melaksanakan pendekatan itu dengan menghubungkan kepakaran klinikal, laluan penjagaan dan maklumat antara fasiliti.
Rangkaian itu menyediakan penjagaan berhampiran tempat tinggal pesakit jika boleh, membolehkan mereka mendapatkan khidmat pakar apabila diperlukan dan kembali menerima penjagaan berhampiran tempat tinggal apabila sesuai.
KPJ Healthcare berkata kejayaan rangkaian itu akan diukur berdasarkan sama ada pesakit menerima penjagaan yang tepat pada masanya dan dapat beralih dengan lancar antara fasiliti yang menyediakan penjagaan, dengan matlamat meningkatkan mutu penjagaan klinikal dan pengalaman pesakit.
Rujukan digital langkah pertama
Platform KPJ eReferral, perkhidmatan pertama di bawah rangkaian itu, membolehkan rujukan dibuat antara fasiliti KPJ. Pengamal perubatan am yang berdaftar juga boleh merujuk pesakit kepada perkhidmatan pakar KPJ melalui proses yang tersusun dan boleh dijejaki. Kumpulan itu akan memperkenalkan lebih banyak laluan penjagaan dan perkhidmatan secara berperingkat.
Pelaksanaan itu turut melibatkan usaha memperkukuh model Hub and Spoke KPJ. Hab menghimpunkan kepakaran khusus dan keupayaan perubatan lanjutan untuk mengendalikan kes kompleks, manakala fasiliti satelit menyediakan penjagaan rutin, susulan dan berterusan. Pesakit boleh dirujuk antara hab dengan fasiliti satelit mengikut keperluan klinikal supaya mereka mendapat khidmat pakar dan dapat meneruskan penjagaan berhampiran tempat tinggal.

Pengerusi Majlis Penasihat Integrasi Strategik KPJ Health System (SIAC) dan KPJ Healthcare University, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata rangkaian itu mengubah cara KPJ memanfaatkan kehadirannya di seluruh negara, sekali gus membolehkan pesakit mendapat manfaat daripada keupayaan seluruh kumpulan. Beliau juga merupakan Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp).
“Jika KPJ Health System mentakrifkan aspirasi kami sebagai sebuah institusi, KPJ Care Network menentukan sejauh mana kecemerlangan itu dapat menjangkau pesakit,” katanya.
“Akses seseorang pesakit kepada kepakaran dalam KPJ tidak seharusnya ditentukan semata-mata oleh fasiliti tempat pesakit itu mula-mula mendapatkan rawatan. Melalui KPJ Health System dan KPJ Care Network, kami mahu memudahkan akses kepada penjagaan klinikal yang cemerlang serta membina sebuah institusi yang berkhidmat untuk generasi akan datang.”
Pegawai Bertanggungjawab KPJ Healthcare, Profesor Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid berkata rangkaian itu akan membantu doktor KPJ dan rakan penjagaan kesihatannya bekerjasama secara lebih sistematik merentas organisasi.
“Hasil klinikal yang baik bergantung pada lebih daripada rawatan yang diterima pesakit di sesebuah hospital. Akses tepat pada masanya kepada kepakaran yang sesuai, komunikasi yang jelas antara doktor dan penyerahan tanggungjawab penjagaan yang teratur pada setiap peringkat sama pentingnya. KPJ Care Network menyediakan cara yang tersusun untuk pakar perubatan dan pengamal perubatan am kami bekerjasama, dengan keselamatan pesakit dan pertimbangan klinikal menjadi panduan bagi setiap keputusan.”
KPJ Cares akan perluas perkhidmatan untuk pesakit
KPJ Cares, platform penjagaan kesihatan digital bersepadu kumpulan itu, akan memainkan peranan yang semakin besar sebagai saluran untuk mengakses pelbagai perkhidmatan KPJ.
Platform itu kini menawarkan tempahan janji temu dan akses kepada perkhidmatan e-farmasi melalui EZpilZ. KPJ akan menambah ciri untuk pesakit secara berperingkat, termasuk bahan kesihatan dan pendidikan, bagi membantu mereka mengurus penjagaan dan terus berhubung dengan kumpulan itu.
Rangkaian itu akan menghubungkan Pusat Kecemerlangan KPJ, KPJ Healthcare University dan Future Health Institute dengan sokongan teknologi digital. Apabila lebih banyak laluan dan keupayaan penjagaan dihubungkan secara berperingkat, rangkaian itu akan meliputi tujuh peringkat penjagaan pesakit yang dinamakan KPJ sebagai Prevent, Detect, Access, Treat, Rehabilitate, Follow dan Renew.
KPJ Healthcare berkata ia sedang membina sistem kesihatan bersepadu yang diyakini rakyat Malaysia bagi memenuhi komitmen “Care for Life” melalui rangkaian hospital dan fasiliti penjagaan yang saling berhubung.
Kumpulan itu memberi perkhidmatan kepada 3.3 juta pesakit setahun dengan 1,491 pakar perubatan serta mengendalikan 29 hospital di Malaysia, tiga pusat penjagaan ambulatori, empat kedai runcit penjagaan kesihatan HealthShoppe dan lebih 30 cawangan makmal diagnostik Lablink. Sebanyak 19 hospitalnya mendapat akreditasi Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) dan empat lagi mendapat akreditasi Joint Commission International (JCI).
Kumpulan itu turut mengendalikan Klinik Waqaf An-Nur (KWAN), pusat dialisis dan klinik bergerak di seluruh negara. KPJ Healthcare University (KPJU) menawarkan lebih 40 program akademik, manakala KPJ Healthcare merupakan konstituen Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia sejak 2016. — DagangNews.com
