KPJ Healthcare perkukuh kesedaran kanser prostat, promosi kesihatan lelaki sempena kempen Hari Bapa

Health & Fitness
22 Jun 2023 • 9:32 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KPJ Healthcare perkukuh kesedaran kanser prostat, promosi kesihatan lelaki sempena kempen Hari Bapa

zulfadli

22/06/2023 - 09:32

KUALA LUMPUR 22 Jun - Sempena sambutan Hari Bapa tahun ini, KPJ Healthcare Bhd memberi penghormatan kepada lelaki dan para bapa dari semua peringkat umur, menggelar mereka sebagai 'wira'.

Ia sebagai usaha mempergiatkan langkah memerangi kanser prostat di Malaysia dengan meningkatkan kesedaran tentang penyakit itu dan memupuk kesedaran dalam memelihara kesihatan lelaki.

Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare, Norhaizam Mohamad berkata, kumpulan komited untuk memerangi kanser prostat dan memupuk kesedaran dalam memelihara kesihatan lelaki.

"Melalui kempen Hari Bapa ini, kami berharap dapat mencipta impak yang berkekalan dengan meningkatkan kesedaran, menawarkan peluang pemeriksaan, dan memberikan sokongan kepada lelaki dalam perjalanan mereka menuju ke arah kesihatan lebih baik," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu KPJ Healthcare menjalin kerjasama dengan Decathlon dan Pa&Ma menjalankan kempen Hari Bapa untuk mempromosikan kesihatan lelaki dan meningkatkan kesedaran tentang kanser prostat.

Bertemakan ‘Meraikan Superhero’, KPJ Healthcare menganjurkan satu siri sesi ramah mesra, termasuk forum yang diketuai pakar perubatan, bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para lelaki tentang faktor risiko, gejala, kaedah pengesanan awal dan pilihan rawatan untuk kanser prostat.

Sementara itu, angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor turut menyatakan sokongannya terhadap kempen Hari Bapa, dengan menekankan kepentingan pengesanan dan pencegahan awal.

image is not available
Norhaizam Mohamad

"Sebagai seorang angkasawan, saya telah menyaksikan secara langsung kepentingan mengekalkan kesihatan yang baik, dari segi fizikal dan mental.

"Kesihatan lelaki, termasuk kesihatan prostat, harus menjadi keutamaan bagi semua orang. Inisiatif KPJ Healthcare untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser prostat adalah dipuji, dan saya menggalakkan semua lelaki untuk memanfaatkan sumber dan pemeriksaan yang ditawarkan," katanya.

Selain daripada sesi pendidikan, KPJ Healthcare juga menawarkan pakej pemeriksaan khusus yang direka untuk mengesan kanser prostat pada peringkat awalnya.

Digelar sebagai 'The Older the Better,' Pakej Saringan Hari Bapa termasuk pemeriksaan ultrasound prostat, profil pemeriksaan darah yang komprehensif, elektrokardiogram dan x-ray dada, ujian antigen khusus prostat dan karsinoembrionik dengan perundingan peribadi doktor kesihatan.

Pakej ini boleh didapati di semua Hospital KPJ, menyediakan pesakit lelaki dengan penilaian kesihatan secara menyeluruh.

Menurut statistik terkini daripada Kementerian Kesihatan, kanser prostat menduduki tempat ketiga paling tinggi dalam kalangan lelaki Malaysia, dengan kesan yang ketara kepada populasi lelaki.

Kajian Kanser Prostat Malaysia, yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Kanser pada 2021, menunjukkan hampir 70% pesakit didiagnos pada peringkat tiga atau empat penyakit itu.

Ini lebih ketara di kawasan pinggir bandar dan luar bandar dan ia menjejaskan satu daripada 117 lelaki di Malaysia. - DagangNews.com