KPJ Healthcare sokong Jelajah MADANI Rakan Bayi, 20 hospital terima pengiktirafan tertinggi di Malaysia

12/09/2025 - 12:25
KPJ Healthcare sambut Jelajah Madani Inisiatif Hospital Rakan Bayi di Hospital Pakar Tawakkal Kuala Lumpur Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 12 Sept – KPJ Healthcare Berhad, penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di Malaysia, terus memperkukuh komitmen terhadap kesihatan ibu dan anak dengan menyokong Jelajah MADANI Inisiatif Hospital Rakan Bayi 2025 bagi Zon Tengah yang berlangsung di Hospital Pakar Tawakkal.
Program anjuran Pusat Laktasi Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang memuji kepimpinan KPJ Healthcare dalam memperluas amalan penyusuan susu ibu secara eksklusif di hospital swasta.
Majlis pelancaran itu turut bertepatan dengan sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia peringkat hospital swasta, bertemakan "Utamakan Penyusuan Susu Ibu: Bina Sistem Sokongan yang Mampan".
Ia bertujuan meningkatkan kesedaran banyak pihak mengenai tanggungjawab bersama penyedia penjagaan kesihatan, keluarga dan komuniti dalam menyokong golongan ibu.
KPJ Healthcare kini mencatat jumlah hospital swasta diiktiraf Hospital Rakan Bayi tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 20 buah di seluruh negara.
Pencapaian ini melambangkan dedikasi pakar, jururawat dan kakitangan KPJ dalam membantu para ibu serta memastikan bayi mendapat permulaan hidup terbaik.
Hospital Pakar Tawakkal sendiri telah menerima pengiktirafan itu sejak November 2014 dan kini memasuki kitaran pembaharuan keempat, menandakan komitmen berterusan terhadap penyusuan susu ibu.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, pengiktirafan itu bukan sekadar pensijilan tetapi sebahagian daripada tanggungjawab sosial kumpulan dalam memastikan setiap bayi diberi permulaan hidup terbaik.
“Inisiatif Hospital Rakan Bayi bukan sekadar akreditasi. Ia tentang memberi sokongan menyeluruh kepada para ibu dalam perjalanan penyusuan mereka.
“Dengan 20 hospital diiktiraf sebagai rakan bayi di seluruh negara, jumlah tertinggi dalam sektor swasta, kami berbangga dapat berganding bahu dengan Kementerian Kesihatan memperkukuh agenda nasional ini, selaras dengan prinsip ‘Care for Life’ yang menjadi teras penjagaan pesakit di KPJ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beberapa hospital lain dalam rangkaian KPJ juga mengekalkan rekod kukuh, dengan ada yang telah mencapai sehingga tujuh kitaran pengiktirafan.
Sebanyak 10 hospital KPJ di Wilayah Tengah menyertai Jelajah MADANI Hospital Rakan Bayi kali ini, dengan Hospital Pakar Tawakkal sebagai tuan rumah.
Hospital lain yang terlibat ialah Hospital Pakar Ampang Puteri, Hospital Pakar KPJ Selangor, Hospital Pakar KPJ Kajang Hospital, Hospital Pakar Damansara, Hospital Pakar Damansara 2, Hospital Pakar Rawang, Hospital Pakar KPJ Sentosa, Hospital Pakar KPJ Klang serta Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor.

Jelajah berkenaan turut menampilkan reruai pendidikan oleh hospital-hospital KPJ termasuk demonstrasi urutan belakang untuk ibu, kaedah pemerahan dan penyimpanan susu serta teknik urutan bayi.
Sesi tersebut disokong oleh ceramah pakar dan kaunseling percuma daripada pasukan Hospital Rakan Bayi KPJ, dengan matlamat memberi ilmu dan kepada golongan ibu.
Dalam masa sama, Hospital Pakar Tawakkal turut melancarkan Vioventure Playland, sebuah taman permainan berasaskan realiti terimbuh (AR) di Wad Pediatrik Violet.
Inisiatif ini bertujuan mengurangkan tekanan kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital serta memberikan suasana lebih ceria melalui aktiviti bermain.
Hospital Rakan Bayi ialah inisiatif global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang memberi pengiktirafan kepada hospital yang mengutamakan penyusuan susu ibu.
Antara syaratnya termasuk pelaksanaan “10 Langkah Ke Arah Penyusuan Susu Ibu yang Berjaya” serta mencapai kadar penyusuan eksklusif sekurang-kurangnya 75 peratus dalam kalangan ibu selepas keluar dari hospital.
Pelaksanaan Jelajah MADANI Hospital Rakan Bayi Wilayah Tengah membuktikan sokongan KPJ Healthcare terhadap usaha KKM dalam membina budaya penyusuan yang mampan di Malaysia.
Ia juga sejajar dengan transformasi menyeluruh di bawah KPJ Health System yang mengintegrasikan penjagaan klinikal, pendidikan dan penyelidikan untuk menetapkan amalan terbaik seperti Inisiatif Hospital Rakan Bayi sebagai penanda aras kualiti, inovasi dan hasil berpusatkan pesakit.
KPJ Healthcare kini mengendalikan 30 hospital di Malaysia serta empat Pusat Jagaan Ambulatori di Kuala Lumpur, Pahang, Perak dan Selangor.
Dengan lebih 1,647 perunding perubatan, KPJ merawat lebih 3.3 juta pesakit setiap tahun. Sebanyak 19 hospitalnya diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH), manakala empat lagi mendapat akreditasi Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI). - DagangNews.com
standard

