KPJ Ipoh catat 100 pembedahan lutut menggunakan bantuan robotik

LocalTechnology
6 May 2025 • 3:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KPJ Ipoh catat 100 pembedahan lutut menggunakan bantuan robotik

image is not available

06/05/2025 - 15:35

Sistem robotik CUVIS yang digunakan untuk prosedur penggantian lutut sepenuhnya. Oleh Zaki Salleh

IPOH 6 Mei - Hospital Pakar KPJ Ipoh (KPJ Ipoh) berjaya melakukan lebih 100 pembedahan penggantian lutut sepenuhnya dengan bantuan robotik sejak teknologi ini diperkenalkan pada Ogos 2024.

Sistem robotik yang dikenali sebagai CUVIS ini digunakan secara meluas di peringkat global untuk prosedur penggantian lutut sepenuhnya (TKR).

Ia membantu pakar bedah dengan menghasilkan simulasi 3D bagi perancangan prapembedahan serta menyokong penjajaran yang lebih tepat semasa pembedahan.

Sistem ini dikendalikan oleh pakar bedah ortopedik yang mendapat latihan khusus dalam teknik bantuan robotik.

Pencapaian ini menonjolkan fokus hospital dalam mengintegrasikan teknologi untuk menyokong ketepatan dan perancangan pembedahan dalam penjagaan ortopedik.

image is not available
Chin Keat Chyuan

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan dalam kenyataannya memberitahu, pencapaian dalam tempoh tujuh bulan itu mencerminkan keupayaan pasukan perubatan hospital tersebut.

Katanya, ini juga menunjukkan keyakinan terhadap prosedur dengan bantuan robotik.

Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan atas dedikasi mereka dalam mencapai kejayaan ini.

“Ia mencerminkan iltizam mereka untuk terus meneroka inovasi dalam penjagaan pesakit di samping menyokong usaha kami dalam membangunkan ‘KPJ Health System’.

“Ini sebuah model penjagaan kesihatan yang lebih bersepadu dan bersedia untuk masa depan yang menggabungkan penjagaan, penyelidikan dan pendidikan bagi menawarkan nilai yang lebih baik untuk pesakit,” ujarnya.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Pengarah Perubatan KPJ Ipoh, Luis Chen Shian Liang menyifatkan pencapaian ini bukti sistem bantuan robotik menyokong ketepatan serta menambah baik pengalaman pembedahan untuk pakar bedah dan juga pesakit.

image is not available
Sebahagian petugas perubatan KPJ Ipoh meraikan pencapaian yang ke-100 dalam pembedahan penggantian lutut sepenuhnya dengan bantuan robot.

”Kita masih bergantung kepada kepakaran pembedahan, namun alatan digital membolehkan kami merancang dan melaksanakan prosedur dengan lebih konsisten,” ujarnya.

Osteoartritis kekal sebagai salah satu punca utama kesakitan sendi di Malaysia, terutamanya dalam kalangan warga emas.

Bagi pesakit yang mengalami kes lanjutan yang mana rawatan konservatif tidak lagi berkesan, TKR sering disyorkan.

Alatan bantuan robotik kini semakin banyak digunakan bagi melengkapkan kaedah pembedahan sedia ada. - DagangNews.com

standard

View Original Article