KPJ pelawa orang ramai kunjungi pameran AiNNOVATION 2025 di 1 Utama dari 12 sehingga 15 Jun ini

14/06/2025 - 16:06
Jawatankuasa Eksekutif Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin (tengah) secara rasmi melancarkan acara AiNNOVATION 2025 KPJ Healthcare di 1 Utama Shopping Centre hari ini, bersama Presiden & Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan (kiri), dan Ketua Pegawai Digital KPJ Healthcare, Shahril Mizani Ariffin. Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 14 Jun – KPJ Healthcare Berhad melancarkan pameran AiNNOVATION 2025, inisiatif selama empat hari yang berlangsung dari 12 hingga 15 Jun 2025 di 1 Utama Shopping Centre, memfokuskan inovasi teknologi dalam penjagaan kesihatan dan penglibatan awam terhadap gaya hidup sihat.
Bertemakan "Menerajui Inovasi dan Inklusiviti Menerusi AI", sejajar dengan komitmen KPJ terhadap slogan 'Care for Life' menerusi rumusan pintar yang berfokuskan manusia.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, AiNNOVATION 2025 merupakan bukti nyata bagaimana kumpulan mengaplikasikan teknologi bagi memperkukuh pengalaman pesakit.
"Ini bukan sekadar pameran teknologi, tetapi satu demonstrasi bagaimana kami melaksanakan inovasi dengan cara yang memberi impak kepada pesakit, penjaga dan pengamal perubatan.

"Kami bangga apabila hospital, universiti, dan pasukan penyelidikan kami berganding bahu bagi menjayakan pameran ini," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Jawatankuasa Eksekutif Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin.
Kehadiran beliau mencerminkan sokongan kerajaan negeri terhadap penjagaan kesihatan sebagai agenda bersama antara sektor awam, swasta dan pembuat dasar.

AiNNOVATION 2025 merupakan sebahagian daripada perjalanan transformasi kumpulan menerusi Sistem Kesihatan KPJ ke arah penyampaian rawatan yang lebih bersepadu dan berpusatkan pesakit di seluruh rangkaiannya.
Turut serta adalah rakan kerjasama dengan pelbagai aktiviti di tapak pameran serta penampilan istimewa oleh pempengaruh dan pencipta kandungan tempatan.

Pameran itu turut melibatkan penyertaan daripada hospital-hospital KPJ seluruh negara, KPJ Healthcare University, Pusat Penyelidikan & Inovasi KPJ serta pasukan Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2025, mencerminkan pendekatan menyeluruh KPJ dalam menyediakan penjagaan kesihatan masa depan.- DagangNews.com
featured standard


