sarah13/10/2026 - 18:08 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt - KPJ Healthcare Bhd memperkenalkan prosedur kolonoskopi menggunakan bantuan kecerdasan buatan (AI) di Johor Specialist Hospital (JSH), menjadikannya hospital pertama dalam rangkaian kumpulan itu di Malaysia menggunakan teknologi berkenaan bagi menyokong pengesanan awal kanser kolorektal.
Sistem endoskopi AI dikenali sebagai ENAD itu dibangunkan oleh syarikat teknologi perubatan Korea Selatan, Ainex Corporation, dan beroperasi bersama peralatan kolonoskopi Olympus sedia ada di JSH untuk menganalisis imej secara masa nyata.
Teknologi itu menggabungkan dua fungsi, iaitu Pengesanan Berbantukan Komputer (CADe) yang menonjolkan kawasan mencurigakan untuk pemeriksaan lanjut, serta Diagnosis Berbantukan Komputer (CADx) yang membantu pakar menilai ciri-ciri polip atau ketumbuhan pada lapisan dalam kolon.
Sistem berkenaan membantu pakar mengenal pasti lesi, termasuk keabnormalan kecil atau rata yang mungkin sukar dikesan, sekali gus menyediakan maklumat visual tambahan ketika prosedur kolonoskopi dijalankan.
Ini penting kerana sesetengah polip boleh berkembang menjadi kanser dari semasa ke semasa. Pemeriksaan kolonoskopi membolehkan pakar memeriksa lapisan dalam kolon dan membuang polip sebelum ia berpotensi menjadi kanser.
Menurut Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kanser Kolorektal 2021–2025 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, kanser kolorektal merupakan kanser kedua paling kerap berlaku di Malaysia, manakala kira-kira 70% pesakit didiagnosis pada tahap tiga atau empat.
Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare, Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid berkata, pengenalan ENAD merupakan langkah penting dalam penggunaan AI untuk menyokong saringan kanser kolorektal, khususnya bagi membantu pengesanan dan penilaian awal keabnormalan.
“Keutamaan kami adalah menerapkan AI dalam bidang yang dapat menyokong keputusan klinikal dan meningkatkan kualiti penjagaan, dengan memastikan teknologi yang dipilih memenuhi keperluan klinikal serta digunakan secara bertanggungjawab,” katanya.
Pakar Perunding Perubatan Dalaman, Gastroenterologi dan Hepatologi JSH, Dr Abraham Mathew Georgeo berkata, maklumat visual tambahan daripada ENAD boleh membantu pakar meneliti kawasan yang memerlukan perhatian lebih rapi, terutama apabila keabnormalan bersaiz kecil atau rata sukar dibezakan daripada tisu sekeliling.
Beliau berkata, teknologi itu tidak menggantikan kepakaran atau pertimbangan klinikal pakar endoskopi, sebaliknya menyokong penilaian bagi menentukan sama ada pemeriksaan lanjut, rawatan atau tindakan susulan diperlukan.
Pelaksanaan ENAD turut menyokong strategi jangka panjang KPJ Healthcare melalui KPJ Health System yang mengintegrasikan amalan klinikal, pendidikan serta penyelidikan dan inovasi, selaras dengan usaha kumpulan itu memperluas penggunaan teknologi bagi menyokong keputusan klinikal dan meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.
- DagangNews.com

