KPJ Sabah himpun ejen, gerak strategi jadikan Sabah destinasi rawatan pilihan

LocalHealth & Fitness
30 Apr 2026 • 2:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KPJ Sabah himpun ejen, gerak strategi jadikan Sabah destinasi rawatan pilihan Image from: KPJ Sabah himpun ejen, gerak strategi jadikan Sabah destinasi rawatan pilihan johardy30/04/2026 - 14:33 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 April - KPJ Sabah Specialist Hospital mengorak langkah memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab pelancongan kesihatan menerusi penganjuran julung kali Program On-Boarding Ejen dan Lawatan Suai Kenal (FAM Trip) Sabah 2026, yang menghimpunkan rakan industri bagi memacu strategi menjadikan negeri itu sebagai destinasi rawatan pilihan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Healthcare Wilayah (Malaysia Timur), Dr Kenny Yeap Kim Pey berkata, program selama tiga hari dua malam itu bukan sekadar platform pembelajaran, sebaliknya bertujuan membina jaringan strategik dan menyelaras visi bersama dalam membangunkan ekosistem pelancongan kesihatan di Sabah.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Tourism Board, Julinus Jeffery Jimit; Pengarah Jualan dan Pemasaran Grandis Hotel, Evangeline Tseu; serta Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Sabah Specialist Hospital, Nor Aidil Ikram Muhamad di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

 

Sepanjang program itu, peserta didedahkan secara langsung kepada kemudahan hospital serta perkhidmatan yang ditawarkan, selain diberi pemahaman lebih mendalam bagi membolehkan mereka mempromosikan Sabah sebagai destinasi rawatan dengan lebih yakin.

 

Menurut Dr Kenny, peranan ejen pelancongan kesihatan kini semakin penting kerana mereka menjadi titik sentuhan pertama bagi pesakit yang ingin mendapatkan rawatan di luar kawasan asal.

 

“Ejen bukan sekadar wakil jualan, sebaliknya duta kepercayaan yang membantu pesakit membuat keputusan penting berkaitan kesihatan mereka,” katanya.

 

Sabah sasar kukuh kedudukan hab pelancongan kesihatan

Mengulas lanjut, beliau berkata Sabah memiliki kelebihan kompetitif yang besar untuk muncul sebagai hab pelancongan kesihatan serantau, bukan sahaja dari segi keindahan alam semula jadi, tetapi juga kualiti perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan.

 

Katanya, pelaburan berterusan dalam kepakaran perubatan serta pengalaman pesakit akan memastikan perjalanan rawatan yang lebih lancar dan menyeluruh.

 

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerjasama antara sektor kesihatan dan pelancongan adalah pemacu utama kepada pertumbuhan industri tersebut.

 

Menurutnya, kolaborasi bersama Sabah Tourism Board dan Grandis Hotel mencerminkan potensi besar apabila dua sektor ini digabungkan secara strategik.

 

“Kerjasama ini bukan sekadar mempromosikan destinasi, tetapi membentuk pengalaman menyeluruh yang merangkumi rawatan, keselesaan dan penerokaan,” katanya.

 

Program tersebut turut merangkumi lawatan ke fasiliti hospital serta pengalaman budaya tempatan bagi memberi gambaran lebih luas kepada peserta mengenai potensi Sabah sebagai destinasi pelancongan kesihatan.

 

Dr Kenny berkata, pihaknya optimis inisiatif itu akan memperkukuh rangkaian industri dan membuka lebih banyak peluang dalam memacu pertumbuhan pelancongan kesihatan di Sabah. - DagangNews.com

Terkini standard