KPK sedia kongsi kepakaran sokong pembangunan sektor tembakau Sabah

LocalBusiness & Finance
23 Sep 2026 • 12:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KPK sedia kongsi kepakaran sokong pembangunan sektor tembakau Sabah Image from: KPK sedia kongsi kepakaran sokong pembangunan sektor tembakau Sabah johardy23/09/2026 - 12:45 Dr Noraini Ahmad menyampaikan sumbangan mesin pemotong tembakau kepada ketua-ketua kampung pengusaha tembakau di Kg. Lipasu Baru, Kg. Lipasu Lama, Kg. Tamalang, dan Kg. Ruhukon, di Ranau, Sabah pada 23 September 2026. - Gambar KPK Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Sept - Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) terbuka untuk berkongsi kepakaran teknikal, penyelidikan dan pembangunan industri bagi menyokong pembangunan sektor tembakau di Sabah secara mapan.

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, meskipun kawal selia penanaman, pengeluaran dan pemasaran tembakau serta keluarannya di Sabah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, kementerian sentiasa terbuka untuk berkongsi kepakaran dalam pembangunan industri itu.

 

Beliau berkata, Ranau ketika ini mempunyai kira-kira 44.5 hektar kawasan penanaman tembakau yang diusahakan oleh 118 pekebun tempatan.

 

Produk yang dikeluarkan ialah tembakau hiris dan cerut yang dibeli pemborong tempatan sebelum dipasarkan ke seluruh Sabah, dengan nilai pendapatan penanam mencecah hampir RM2 juta setahun.

 

“Saya dimaklumkan oleh LKTN bahawa di daerah Ranau, terdapat kira-kira 44.5 hektar kawasan penanaman tembakau yang diusahakan oleh 118 orang pekebun tempatan pada masa ini.

 

“Produk yang dikeluarkan adalah tembakau hiris dan cerut. Hasil pengeluaran ini dibeli oleh pemborong tempatan sebelum dipasarkan ke seluruh negeri Sabah dengan nilai pendapatan penanam mencecah hampir RM2 juta setahun,” katanya.

Noraini berkata demikian semasa berucap pada majlis lawatan kerja ke Kawasan Tanaman Tembakau di Kg Lipasu Baru, Ranau di Sabah, hari ini.

 

Beliau berkata, potensi sektor itu boleh diperkukuh dengan memberi penekanan kepada kualiti hasil, teknologi penanaman moden dan rangkaian pasaran yang lebih luas.

 

Sabah kawal selia sektor tembakau

Menurut Noraini, kawal selia penanaman, pengeluaran dan pemasaran tembakau serta keluarannya di Semenanjung Malaysia merupakan antara fungsi KPK dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sebagaimana termaktub di bawah Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 (Akta 692).

 

Kawal selia penanaman, pengeluaran dan pemasaran tembakau serta keluarannya di Sabah pula berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

 

“Walaupun kawal selia penanaman, pengeluaran dan pemasaran tembakau serta keluaran tembakau di Sabah berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, Kementerian sentiasa terbuka untuk berkongsi kepakaran teknikal, penyelidikan dan pembangunan industri agar sektor ini dapat dimajukan secara mapan,” katanya.

 

Beliau berharap industri penanaman tembakau di Ranau terus berkembang maju, memberi pulangan yang menguntungkan kepada pengusaha dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi tempatan.

 

Setakat 31 Ogos 2026, tanaman tembakau hiris di Semenanjung Malaysia melibatkan 170 penanam dengan keluasan keseluruhan 103.7 hektar di Kelantan, Perak dan Negeri Sembilan.

 

Hasil pengeluaran yang dicatatkan sebanyak 78.32 tan dengan harga purata RM20 sekilogram, sekali gus membawa kepada nilai hasil RM1,566,420.

 

Dari sudut perdagangan, nilai eksport produk tembakau mencecah RM150.40 juta melibatkan China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, India, Belize, Singapura, Vietnam, Indonesia, Australia dan Bangladesh.

 

Nilai import tembakau dan produk tembakau pula sebanyak RM427 juta dari Indonesia, Filipina, Switzerland, Hong Kong, Singapura, Jerman, Korea, Cuba, Vietnam dan Belgium.

 

Kerajaan tidak lagi salur bantuan, insentif

Noraini berkata, walaupun industri tembakau mempunyai potensi tinggi dari segi ekonomi, kerajaan tidak lagi menyalurkan sebarang bantuan dan insentif kepada penanam tembakau selaras dengan komitmen kerajaan terhadap WHO-FCTC.

 

Bagaimanapun, kerajaan melalui agensi berkaitan kekal komited memberikan khidmat nasihat dan melaksanakan kawal selia tanaman serta keluaran tembakau, selain memastikan pematuhan kepada peruntukan di bawah Akta 692.

 

“Saya berharap industri penanaman tembakau di daerah Ranau akan terus berkembang maju, memberi pulangan yang menguntungkan kepada para pengusaha, dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi tempatan.

 

“Semoga dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, agensi Persekutuan serta komuniti setempat, kita mampu menjadikan Ranau sebagai contoh kejayaan pembangunan pertanian berasaskan komoditi di Sabah,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved