
GURUN - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) belum memutuskan mengenai lanjutan kontrak Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) untuk membekalkan baja subsidi, yang akan tamat hujung tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan, namun beliau yakin Nafas mempunyai keupayaan untuk membekal dan mengedar baja bersubsidi kepada para peladang.
"Saya tak berani kata 100 peratus (kontrak Nafas dilanjutkan), tapi Nafas ini adalah satu badan yang ditubuhkan oleh kerajaan, sudah tentulah kita mahu Nafas ini terus ‘bernafas’.
"Insya-Allah Nafas mampu menjaga kebajikan peladang, kalau ada kelemahan-kelemahan kita baiki dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) di sini pada Isnin.
MNFSB merupakan syarikat usaha sama Nafas dan Petronas Chemicals Fertilizer Kedah Sdn Bhd yang mula beroperasi pada 2004.
Ia merupakan lawatan pertama Mohamad ke kilang baja Nafas bagi melihat sendiri proses pembuatan, gudang penyimpanan serta bagi mendapatkan gambaran secara menyeluruh proses pembuatan baja bagi skim subsidi kerajaan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Nafas turut memberi jaminan bahawa bekalan baja ke seluruh negara akan mencukupi dan diedarkan mengikut jadual penanaman padi tahun ini.
Justeru, katanya para peladang tidak perlu bimbang dan menasihatkan mereka agar mendaftar awal untuk mendapatkan baja tersebut.
Selain itu, Mohamad turut mengucapkan tahniah kepada Nafas yang baru-baru ini mengumumkan dividen Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, sebanyak lapan peratus untuk Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP).
"Walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu di seluruh dunia dan Malaysia, NAFAS dapat dividen lapan peratus pada tahun ini. Kita ucap tahniahlah kerana berjaya dalam suasana sukar ini dapat juga beri dividen kepada mereka yang melabur, semuanya para peladang,” katanya.
Pada majlis sama, Nafas turut memperkenalkan produk baja baharu keluaran MNFSB, Silgrow Plus, iaitu baja mineral silikon yang berfungsi sebagai perapi tanah yang antara lain dapat menggalakkan akar, mempergiatkan proses fotosintesis, menguatkan daya ketahanan tanaman terhadap penyakit dan serangga perosak. - Bernama


