KPKM, KPDN pantau telur ayam - Fahmi

LocalPolitics
30 Apr 2025 • 5:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan mengadakan sidang media mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi pada Rabu. Foto Bernama.

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau bagi memastikan bekalan telur ayam terjamin di pasaran.

Langkah itu susulan penamatan kawalan harga dan subsidi telur ayam secara berfasa yang bermula Khamis, sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Ogos depan.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri sebelum ini telah diingatkan mengenai konsep subsidi telur yang diperkenalkan semasa pandemik Covid-19 bagi menangani masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga.

“Ketika pandemik, terdapat masalah dari segi penghasilan dan bekalan telur ayam, namun kita lihat hari ini ia menunjukkan trend yang lebih positif.

“Maka Jemaah Menteri berpandangan bahawa cadangan penamatan subsidi telur ayam oleh KPKM adalah wajar,” katanya dalam sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.

Terdahulu, KPKM mengumumkan bahawa kadar subsidi telur ayam dikurangkan daripada 10 sen kepada 5 sen sebiji, berkuat kuasa mulai Khamis, sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos depan.

Kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk subsidi telur ayam sejak Februari 2022 hingga Disember 2024 bagi menampung peningkatan kos pengeluaran akibat pandemik Covid-19 serta krisis geopolitik membabitkan Rusia dan Ukraine.