KPKT Anjur Simposium: Pacu Reformasi Pengurusan Sisa Pepejal Negara

LocalEnvironment
6 May 2025 • 2:52 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

KPKT Anjur Simposium: Pacu Reformasi Pengurusan Sisa Pepejal Negara

BUKIT TINGGI, 6 Mei 2025 – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) buat julung kalinya menganjurkan Simposium Reformasi Pengurusan Sisa Pepejal Negara 2025 bertempat di I-KPKT, Bukit Tinggi, Pahang hari ini. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu.

image is not available

Penganjuran simposium ini bertujuan bagi memperkukuhkan sistem pengurusan sisa pepejal di negara ini. Ia juga merupakan platform bagi membincangkan pelbagai aspek berhubung pengurusan sisa pepejal negara yang perlu melalui reformasi. Selain itu, ia turut membuka ruang kepada penciptaan nilai baharu, peluang pekerjaan hijau dan inovasi teknologi.

image is not available

Simposium ini turut menekankan keperluan beralih daripada sistem pelupusan linear kepada pemulihan sumber dan pelaksanaan ekonomi kitaran sejajar dengan Blueprint Ekonomi Kitaran 2024 dan komitmen kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 11 dan 12.

Pelbagai teknologi terkini turut diketengahkan termasuk aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam proses pemulihan bahan, sistem smart baling serta pendekatan waste-to-energy. Forum bertajuk “Adaptation of AI in Solid Waste Management” turut diadakan dengan penyertaan panel tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan cabaran dan potensi pelaksanaan teknologi pintar secara menyeluruh dalam sektor ini.

image is not available

Menurut YB Datuk Hajah Aiman Athirah, “KPKT berhasrat merealisasikan misi pengurangan karbon melalui pengurangan 15 peratus sisa ke tapak pelupusan menjelang 2030. Ia akan disokong teknologi bersih dan automasi pintar sebagai langkah ke arah sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.”

Beliau turut menekankan kepentingan pembaharuan dasar, penggunaan teknologi hijau serta penglibatan komuniti dalam memastikan sistem pengurusan sisa pepejal negara selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

image is not available

Simposium ini dianjurkan dengan kerjasama Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) dan Waste Management Association of Malaysia (WMAM). Ia menghimpunkan seramai 500 peserta iaitu terdiri daripada wakil kementerian, agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), industri pengurusan sisa, akademik serta pakar antarabangsa bagi membincangkan pendekatan baharu serta hala tuju strategik demi memartabatkan pengurusan sisa pepejal yang lebih mampan dan berkesan.

image is not available

Simposium ini juga dilihat turut mengangkat peranan I-KPKT sebagai pusat kecemerlangan pengurusan sisa di bawah KPKT. Ini adalah selaras dengan usaha memperkasa latihan kapasiti dan kolaborasi strategik dengan pelbagai pihak.

Program ini dijangka menjadi acara tahunan dan landasan strategik kepada reformasi dasar, inovasi teknologi dan penyertaan pelbagai pemegang taruh dalam memperkukuh pengurusan sisa pepejal negara ke arah negara rendah karbon, lestari dan berdaya tahan menjelang 2030.