
SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menekankan keperluan mendesak untuk menggubal Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) agar kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan dan terjamin.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, RUU tersebut bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan turut menurunkan ambang persetujuan penyertaan bagi mempercepatkan proses pembaharuan semula dan pemuliharaan bandar.
“Ia khusus bagi bangunan yang tidak lagi selamat untuk diduduki.
"Jadi, kami menekankan keperluan mendesak untuk menggubal undang-undang tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan KPKT dijangka membentangkan RUU tersebut pada sesi Parlimen Julai ini.
Kor Ming berkata, RUU itu telah melalui proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan kepada mesyuarat Jemaah Menteri pada Mac lalu.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan akan menganjurkan satu lawatan kajian khas di ibu kota untuk ahli Parlimen bagi meningkatkan tahap kesedaran terhadap kepentingan RUU tersebut.
Jelas beliau, jemputan rasmi telah dihantar kepada semua ahli Parlimen pada awal April, termasuk penyokong kerajaan, wakil rakyat, dan pembangkang untuk menyertai inisiatif yang dijadualkan berlangsung pada 29 April.
“Saya ingin menjemput semua ahli Parlimen termasuk wakil rakyat pembangkang untuk melawat kawasan bandar yang daif dan uzur bersama KPKT serta mengkaji kejayaan projek pembaharuan semula yang telah dilaksanakan.
“Lawatan kerja tersebut akan melibatkan tinjauan tapak ke beberapa flat uzur bagi mengkaji keadaan daif dan isu setempat yang sedang dihadapi oleh penduduk di kawasan terbabit.
“Ahli Parlimen juga berpeluang untuk meninjau projek pembaharuan semula bandar yang telah berjaya dilaksanakan, menerusi flat usang telah dibangunkan semula menjadi kawasan kediaman yang lebih moden, selesa, dan berdaya huni,” ujarnya.
Jelas Kor Ming, menerusi lawatan tersebut, pihaknya berhasrat untuk menunjukkan potensi besar RUU PSB dalam merancakkan semula kawasan bandar yang daif dan tidak lagi selamat serta memperbaiki kualiti hidup rakyat.
Tambah beliau, inisiatif itu disusuli dengan mengatur tiga buah bas dari Parlimen untuk membawa semua ahli Parlimen melihat keadaan usang dan daif di beberapa flat kos rendah yang amat memerlukan perhatian segera.

