KPKT lulus RM60 juta naik taraf medan selera, pusat penjaja seluruh negara

5 Apr 2026 • 9:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Transformasi Medan Selera Greentown Utama, Ipoh melibatkan pelbagai penambahbaikan termasuk penyediaan kemudahan baharu seperti meja, bangku, kipas serta kerja-kerja mengecat semula bangunan bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.

IPOH - Sebanyak RM60 juta diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menaik taraf medan selera dan pusat penjaja di seluruh negara tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu bakal memberi manfaat kepada lebih 200 lokasi dengan kos sekitar RM300,000 hingga RM500,000 bagi setiap projek.

“RM60 juta ini merupakan peruntukan baharu untuk tahun ini dan kita sedang merancang serta terdapat projek yang telah mula dilaksanakan. Kita sasarkan semua projek ini dapat disiapkan menjelang Disember.

"Salah satu kejayaan yang telah dicapai ialah di Stadium Perak. Medan Selera Stadium Perak kini sudah berubah dan sangat menarik," katanya dalam sidang akhbar sempena perasmian Naik Taraf Medan Selera Greentown Utama di sini pada Ahad.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Dr M Noor Azman Taib dan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, pelaksanaan projek tersebut sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kemudahan awam berteraskan keperluan rakyat.

Katanya, tahun ini sahaja, KPKT menyasarkan pelaksanaan sehingga 5,000 projek prasarana seumpama itu di seluruh negara.

"Dalam tempoh tiga tahun lalu, KPKT telah berjaya menyiapkan sebanyak 15,082 projek prasarana, sekali gus membuktikan komitmen kementerian dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita mahu rakyat bukan sahaja melihat perubahan, tetapi dapat merasai dan menikmati sendiri kemudahan yang sedang rancak dibangunkan," katanya.

Mengulas mengenai peruntukan RM40 juta bagi kerja penurapan jalan di kawasan perumahan di Perak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang itu berkata, projek melibatkan kira-kira 800 laluan itu telah siap sepenuhnya.

"Kita menerima maklum balas positif daripada penduduk yang bersyukur selepas ada yang menunggu lebih 30 tahun untuk jalan di hadapan rumah mereka diturap semula," katanya.

Sementara itu, projek naik taraf Medan Selera Greentown Utama yang sekian lama dinantikan akhirnya berjaya dilaksanakan selepas lebih dua dekad.

Menurut Kor Ming, transformasi itu melibatkan pelbagai penambahbaikan termasuk penyediaan kemudahan baharu seperti meja, bangku, kipas serta kerja-kerja mengecat semula bangunan bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.

“Dulu keadaannya kurang selesa, tetapi hari ini kita dapat lihat perubahan ketara hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan,” katanya.