KPKT sedia 3,073 MyKiosk, sewa bawah RM300 sebulan

28 Jul 2023 • 4:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kor Ming merasmikan Mykiosk pada majlis Pelancaran Mykiosk yang diadakan di Tapak Pasar, Taman Putra Perdana, Puchong pada Jumaat.

image is not available
Kor Ming melawat gerai Mykiosk pada majlis Pelancaran Mykiosk di Tapak Pasar, Taman Putra Perdana, Puchong pada Jumaat.

image is not available
Farizul, Alif, Rafidah

SEPANG - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan sebanyak 3,073 unit MyKiosk dengan manfaat kadar sewa rendah iaitu tidak melebihi RM300 sebulan dan dijangkakan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kos anggaran seunit kios antara RM15,000 hingga RM20,000 termasuk panel solar bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan terutama golongan B40 menjana dan meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi.

"Daripada peruntukan RM50 juta Belanjawan Malaysia Madani 2023 ini, KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan telah meluluskan sebanyak RM49 juta kepada 113 pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pembinaan berkenaan sekali gus melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) kami iaitu 3,000 kios.

"Fasa Pertama MyKiosk dengan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi 100 kios lengkap dengan panel solar telah siap dibina dan akan beroperasi tidak lama lagi.

"Lima PBT telah terpilih bagi Fasa Pertama projek ini iaitu Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Perbandaran Port Dickson dan Majlis Daerah Kuala Pilah. Setiap jabatan itu menerima peruntukan untuk membina 20 kios," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran MyKiosk di tapak kiosk Taman Putra Perdana, Sepang pada Jumaat.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, selain itu, pengecualian sewaan juga diberikan kepada peniaga selama enam bulan pertama pelaksanaan tersebut.

"Dengan inisiatif Ekonomi Madani ini, kerajaan mencadangkan kepada peniaga tanpa lesen 'dihalalkan' sekali gus dapat menyelesaikan masalah isu penjaja haram.

"Kita bekalkan kios dengan imej, warna dan reka bentuk yang baharu dan seragam di seluruh negara, ini secara langsung memberikan penjenamaan kepada mereka," ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana peniaga yang berjaya memperolehi kios tersebut tidak dibenarkan menyewakan kepada orang lain.

Jelasnya, itu antara syarat yang diberikan, jika individu itu melakukannya maka kontrak mereka secara automatik akan terbatal.

Salah seorang penerima kios, Alif Aiman Shahrulazni, 34, berkata, tawaran itu diberikan sendiri Majlis Perbandaran Sepang (MPS) kepada mereka yang meniaga di tepi jalan di sekitar kawasan Puchong.

Menurut peniaga burger itu, inisiatif KPKT secara tidak langsung telah memudahkan mereka dalam mencari rezeki kerana sebelum ini sering diganggu MPS disebabkan tidak memiliki lesen.

"Saya berasa amat bersyukur dengan pembinaan kios ini yang mana ia dilihat dapat membantu peniaga kecil seperti kami.

"Sambutan diterima pada hari pertama ini, Alhamdulillah memberangsangkan," katanya.

Bagi peniaga nasi kerabu berlauk Golok, Rafidah Ramli, 37, pula memberitahu, keputusan permohonan kios itu mengambil masa dalam tempoh hanya dua minggu sahaja.

"Malah, yang paling meringankan beban kami adalah kadar sewa yang murah, iaitu RM10 sehari," katanya yang meniaga hampir sembilan tahun.

Sementara itu, pemilik gerai Abah Western, Mohd Farizul Abdul Rahim, 29, berpandangan bahawa bukan hanya kadar sewa yang berbaloi malahan reka bentuk kios juga disifatkan cantik dan selesa.

"Selain itu, sistem solar juga memberikan kemudahan dan penjimatan kepada kami yang mana tidak perlu memikirkan penggunaan elektrik," ujarnya yang mula meniaga jam 2 petang hingga 11 malam.