‘KPKT, Tolong Kaji Semula Garis Panduan Permohonan Dana RIBI’ - MIC

LocalPolitics
28 Nov 2024 • 4:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Rumah ibadat bukan sahaja digunakan untuk upcara keagamaan, tetapi juga pusat aktiviti komuniti setempat - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diminta mengkaji semula pindaan garis panduan permohonan dana Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) demi kesejahteraan semua pihak.

Ketua Pemuda MIC Selangor, Gobirajan Chandran berkata, garis panduan sedia ada menetapkan bahawa mana-mana RIBI yang telah menerima peruntukan tidak dibenarkan membuat permohonan baharu dalam tempoh tiga tahun.

Menurut beliau, ketetapan tersebut jelas tidak relevan dengan keadaan semasa, mengambil kira pelbagai faktor termasuk bencana alam. 

“Permohonan dana oleh RIBI perlu dipertimbangkan berdasarkan keperluan dan tujuan sebenar, yang merangkumi faktor seperti lokasi, jumlah penganut, dan peranan RIBI dalam membina masyarakat berasaskan nilai-nilai murni melalui aktiviti kerohanian mereka. 

“KPKT seharusnya mengutamakan pengagihan dana yang adil dan saksama, bukannya menggunakan pendekatan yang menyekat keperluan mendesak sesetengah RIBI,” katanya kepada Getaran di sini hari ini. 

image is not available
Gobirajan Chandran

Jelas Gobirajan, ketetapan diputuskan KPKT itu dilihat berat sebelah, khususnya jika RIBI terlibat sangat memerlukan bantuan.

“Kos penyelenggaraan dan pengurusan RIBI terus meningkat, dan kebanyakan RIBI masih bergantung kepada dana kerajaan, sumbangan swasta dan individu untuk mengekalkan operasi mereka.

“Fungsi RIBI juga kini melangkaui sekadar tempat ibadat apabila turut berperanan sebagai pusat kegiatan masyarakat,” katanya. 

Tegas beliau, peruntukan tahunan sebanyak RM50 juta yang dikhususkan buat RIBI tidak mencukupi kerana ia perlu dikongsi dengan rumah ibadat pelbagai agama lain. 

“Menurut makluman Timbalan Menteri KPKT sendiri, hanya sekitar 30 peratus daripada permohonan dana RIBI diluluskan.

“Bagaimana permohonan selebihnya ditangani? Apakah jawatankuasa penilaian RIBI mempunyai panel penasihat yang terdiri daripada wakil agama bukan Islam untuk memastikan kesahihan dan keadilan dalam menilai permohonan,” katanya. 

Gobirajan berkata, KPKT perlu memohon dana tambahan daripada kerajaan sekurang-kurangnya RM100 juta setahun khusus untuk memenuhi keperluan RIBI.

“Mereka juga perlu menubuhkan Jawatankuasa Penilaian dana RIBI yang melibatkan pakar agama bukan Islam agar setiap permohonan dinilai dengan teliti dan adil.

“KPKT juga tidak wajar mengenakan syarat sekatan tiga tahun kerana ia menyekat kelangsungan operasi mana-mana RIBI yang benar-benar layak dan memerlukan bantuan,” katanya. - Getaran, 28 November 2024