
KUALA NERANG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntuk lebih RM114 juta pada tahun depan bagi menyediakan ekosistem kepada usahawan luar bandar meluaskan pasaran dan meningkatkan pendapatan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid (gambar) berkata peruntukan itu adalah bagi menyokong perkembangan sejumlah 64,000 usahawan luar bandar di bawah KPLB di seluruh negara.
Beliau berkata Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) merupakan antara inisiatif KPLB untuk memperkasa ekosistem sedia ada bagi golongan itu.
“Program ini menyediakan platform kepada semua pihak yang terlibat dalam rantaian keusahawanan seperti pengeluar, pembekal, pemborong dan pengedar untuk menjalin kerjasama strategik termasuk meluaskan jaringan perniagaan.
“Melalui program itu juga, KPLB dapat mengumpul maklumat dan maklum balas daripada usahawan luar bandar mengenai keberkesanan program pengukuhan keusahawanan yang dilaksanakan oleh agensi di bawah KPLB,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Mini KUD Padang Terap di sini hari ini.
Mahdzir berkata hampir semua agensi di bawah KPLB mempunyai program khusus untuk pembangunan usahawan luar bandar antara Majlis Amanah Rakyat, FELCRA, Jabatan Kemajuan Masyarakat, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli.
Agensi lain termasuk Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang.
Beliau juga berkata Mini KUD Padang Terap yang berlangsung tiga hari sejak Khamis lepas mencatatkan nilai jualan lebih RM200,000 dengan kehadiran pengunjung melebihi 30,000 orang.
“Jika kita mengambil kira sesi padanan perniagaan, nilai keseluruhan yang berjaya dicatatkan pada Mini KUD Padang Terap mencecah RM450,000,“ katanya.
Mahdzir berkata elemen penting penganjuran Mini KUD ialah sebagai platform mempromosi kemudahan dan inisiatif yang disediakan KPLB serta agensinya bagi membantu usahawan luar bandar.
“Program ini juga menjadi antara medium untuk mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar serta pembeli selain meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar,“ katanya.
Beliau berkata kumpulan sasar bagi Mini KUD ialah usahawan luar bandar yang telah mendapat bimbingan kementerian dan agensi selain usahawan berpotensi yang memerlukan khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti serta pengembangan perniagaan.
Lebih 100 usahawan yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman, fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kecantikan dan kesihatan, kraf tangan serta produk pertanian menyertai Mini KUD Padang Terap.
Pada majlis itu, Mahdzir turut menyampaikan geran Skim Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar kepada 1,032 usahawan desa bernilai lebih RM5.1 juta manakala 11 usahawan menerima bantuan penyediaan warung desa dan peralatan di bawah Program Peningkatan Pendapatan bernilai RM110,000.
Turut hadir Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB Mas Rizal Mohd Hilmi.-Bernama

