KPM Aktifkan Semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan

15 Dec 2022 • 4:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Fadhlina Sidek berkata, Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan akan dianggotai pemegang taruh dalam bidang pendidikan dan pelantikan ahli majlis itu akan dilakukan dalam masa terdekat - Gambar Fail Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) seperti yang termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, MPPK akan dianggotai pemegang taruh dalam bidang pendidikan dan pelantikan ahli majlis itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Dengan adanya MPPK ini nanti diharapkan akan dapat menyumbang idea dan pandangan kepada KPM dalam merangka dan menambah baik hala tuju pendidikan negara.

“Perkara ini termasuklah memikirkan kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan berakhir pada 2025,” katanya pada sidang media khas di kementeriannya di Putrajaya, petang ini.

Ditanya sama ada MPKK akan diberi nama baharu, Fadhlina bagaimanapun memberitahu perkara itu belum diputuskan lagi.

“Buat masa sekarang belum ada nama lagi. Maka proses akan kita laksanakan dengan pelantikan yang menganggotai majlis itu dalam masa terdekat,” katanya.

KPM jelas beliau, akan mengambil pendekatan yang lebih holistik melalui proses konsultasi dan musyawarah dengan rakan strategik serta semua pihak berkepentingan.

Malah katanya, beliau juga akan memastikan keseluruhan ekosistem pendidikan dilaksanakan mengikut proses yang ditetapkan dan berlandaskan Akta Pendidikan 1996 serta peraturan yberkaitan. – Getaran, 15 Disember 2022

BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL