KPM: Institusi pendidikan terkesan banjir, jadi PPS laksana PdPR

22 Sep 2024 • 1:19 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PUTRAJAYA, 22 SEPT: Institut pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang terkesan banjir dan dijadikan pusat pemindahan sementara PPS akan meneruskan pembelajaran menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Dalam kenyataan hari ini, KPM memaklumkan ia sama ada melibatkan semua murid untuk berada di rumah ataupun sebilangan murid tertentu akan melaksanakan PdPR dan pihak sekolah akan memaklumkan mengenai perkara berkenaan kepada mereka yang terjejas.

“Bagi murid yang berada di PPS premis sekolah, pihak jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) telah menggerakkan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) untuk membantu murid dari aspek kaunseling dan pembelajaran,” kata KPM.

Setakat semalam (21 Sept), lima sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di Kedah masih dilanda banjir, manakala 36 institusi pendidikan di tiga negeri pula masih dijadikan PPS.

Ia melibatkan 20 sekolah rendah dan 16 sekolah menengah iaitu 34 PPS dibuka di Kedah serta Pulau Pinang dan Perak masing-masing satu PPS.

“Seramai 1,056 orang murid KPM masih berada di PPS premis sekolah manakala Perlis telah pulih sepenuhnya dengan semua PPS premis sekolah telah ditutup,” kata KPM yang menambah kementerian itu sentiasa memantau situasi banjir untuk memastikan keselamatan warganya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata KPM akan menentukan sesi persekolahan bagi sekolah di Kedah yang terjejas akibat banjir atau PPS, termasuk mempertimbang untuk memberi kelonggaran kepada sekolah terlibat.

-BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved