KPM jamin harga makanan kantin sekolah tak naik

15 Mar 2023 • 5:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fadhlina ketika ditemui pemberita selepas merasmikan seminar kejurulatihan sukan dan melancarkan takwim Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2023, di sini pada Rabu.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan tidak akan timbul isu kenaikan harga makanan di kantin sekolah.

Tegasnya, harga makanan di kantin sekolah adalah berdasarkan garis panduan dan perjanjian antara pengusaha dan pihak sekolah.

"Kementerian mengambil perhatian mengenai isu kos yang dibangkitkan dan sebagainya tetapi perlu melihat kepada kepada garis panduan itu serta perbincangan dengan pihak sekolah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar kejurulatihan sukan dan melancarkan takwim Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2023, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab kebimbangan ibu bapa kemungkinan harga makanan di kantin meningkat menjelang sesi persekolahan bermula minggu hadapan.

Ditanya mengenai cadangan penyeragaman harga makanan dan minuman di kantin sekolah mengikut lokaliti, Fadhlina berkata, perkara itu akan diberi perhatian.

"Sekiranya ada keperluan untuk seragam, kita akan lihat dari masa ke masa," katanya.



Sementara itu, dalam perkembangan lain Fadhlina berkata, perbelanjaan peruntukan penyelenggaraan sekolah tidak akan dikurangkan bagi Belanjawan 2023.

"Kita bagi peruntukan itu seperti biasa, tiada pengurangan kerana kita mahu pastikan sekolah itu selamat dan selesa," ujarnya.

Dalam Belanjawan 2023, KPM menerima peruntukan tertinggi iaitu RM55. 2 bilion berbanding RM52. 6 bilion tahun sebelumnya.