KPM Kaji Keperluan Tambah Kelas Prasekolah, TADIKA Di Bandar 

3 Jan 2023 • 10:47 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Fadhlina bertanyakan sesuatu kepada salah seorang murid ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, di sini, hari ini. - Gambar oleh Azim Rahman

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius isu kekurangan kelas prasekolah dan taman didikan kanak-kanak (TADIKA) kendalian agensi kerajaan di kawasan bandar yang dikatakan tidak boleh menampung keperluan semasa.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, susulan itu KPM sedang mengkaji keperluan untuk menambah kedua-dua institusi berkenaan. 

“KPM melihat perkara tersebut. Sebenarnya kita sedang melihat keutamaan kita untuk menambah prasekolah.

“Saya telah bincang dengan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian dan Ketua Pengarah Pelajaran bahawa ada keperluan ketika ini untuk melihat dan menambah dasar yang berkait rapat dengan sekolah ini (untuk) dipercepatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi lawatan ke  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun di sini hari ini. 

image is not available
Fadhlina beramah mesra dengan guru-guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan isu kekurangan kelas prasekolah dan TADIKA kendalian agensi kerajaan di kawasan bandar sebagaimana dilaporkan media baru-baru ini yang mengundang bebanan kepada ibu bapa.

Masalah itu menyebabkan kebanyakan ibu bapa di kawasan bandar tiada pilihan selain terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar menghantar anak-anak mereka ke tadika swasta dengan kadar yuran yang jauh lebih mahal.

Dalam perkembangan berasingan, Fadhlina memaklumkan, kementerian akan mengikut sebarang nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pengoperasian sekolah susulan penularan varian baharu COVID-19 yang dilaporkan baru-baru ini. 

Beliau berkata, pihaknya turut bimbang mengenai penularan varian baharu tersebut.

“Buat masa ini kita akan bersama dengan KKM dan mengikut sahaja apa yang akan dinasihatkan.

“Jadi kita bergantung kepada nasihat KKM dari semasa ke semasa,” katanya. - Getaran, 3 Januari 2023