
PETALING JAYA, 22 JUN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan intervensi menyeluruh termasuk memantau kehadiran harian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ke sekolah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata usaha itu antara lain bagi memastikan prestasi keseluruhan pelajar peperiksaan itu lebih baik tahun ini.
“Mulai hari ini untuk calon SPM 2023 kita telah pun minta semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memastikan kehadiran pelajar ke sekolah dari awal lagi. Jadi kita boleh pantau soal kehadiran.
“Selain kehadiran, intervensi lain termasuk latihan guru dan penumpuan kepada subjek yang dilihat memerlukan sedikit lonjakan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ditemui selepas Majlis Pelancaran Projek Peguam-Bela Keadilan Rakyat di sini, hari ini.
Berhubung 8.4 peratus daripada keseluruhan calon SPM 2022 tidak layak mendapat sijil berikutan gagal dalam subjek Bahasa Melayu atau Sejarah atau kedua-duanya, beliau berkata KPM memastikan ada program ulangan SPM.
“Sebab itu kita juga umumkan semalam hapuskan yuran untuk ulangan itu mereka boleh daftar ambil SPM ulangan,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, KPM mengenal pasti 8.4 peratus daripada keseluruhan calon SPM 2022 tidak layak mendapat sijil berikutan gagal dalam subjek Bahasa Melayu atau Sejarah atau kedua-duanya.
The post KPM laksana intervensi menyeluruh, pastikan prestasi SPM 2023 lebih baik appeared first on Selangorkini.

