KPM perlu ambil tindakan tegas, drastik kes seksual libat guru, pelajar - Pemuda Pas

LocalPolitics
30 May 2026 • 7:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KPM perlu ambil tindakan tegas, drastik kes seksual libat guru, pelajar - Pemuda Pas
Mohd Hafez

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mengambil tindakan tegas dan drastik bagi membendung jenayah seksual, khususnya melibatkan guru dan murid di seluruh institusi pendidikan negara.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Mohd Hafez Sabri berkata, pendedahan demi pendedahan terhadap kes berkenaan seharusnya membuka mata pelbagai pihak terhadap krisis dalaman yang serius dalam institusi pendidikan negara.

Menurutnya, KPM perlu memberi perhatian sewajarnya kerana isu jenayah seksual melibatkan guru dan murid merupakan perkara yang amat membimbangkan.

“Hal ini ditambah lagi dengan kelemahan pengurusan kes oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah, termasuk tindakan yang didakwa tidak wajar sehingga seolah-olah cuba menutup sesuatu kes daripada pengetahuan umum,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi turut mempersoalkan keberkesanan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada dalam mengurus kes berkenaan.

“Adakah tidak ada SOP yang jelas dalam mengurus krisis seperti ini, apatah lagi melibatkan jenayah seksual yang serius?

“Apakah mekanisme perlindungan tegas terhadap mangsa yang merupakan murid sekolah, sedangkan guru yang tertuduh pula dikatakan masih bebas berada dalam kawasan sekolah?” soalnya.

Mohd Hafez berkata, isu jenayah seksual di sekolah tidak boleh dianggap remeh kerana institusi pendidikan seharusnya menjadi tempat yang selamat untuk kanak-kanak.

Justeru, beliau mengulangi gesaan agar KPM tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap kes-kes jenayah seksual yang sedang didedahkan kepada umum ketika ini.