KPM Terima Peruntukan Belanjawan Terbesar, 50,000 Komputer Riba Disedia Untuk Sekolah

24 Feb 2023 • 7:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar Ibrahim berkata, daripada peruntukan itu, sejumlah RM2.3 bilion ringgit disediakan untuk memastikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik dapat disediakan di semua sekolah - Gambar Jabatan Penerangan

KUALA LUMPUR – Sama seperti tahun sebelum ini, Kementerian Pendidikan terus menerima peruntukkan kewangan tertinggi dalam Belanjawan 2023, iaitu sebanyak RM55.2 bilion, berbanding RM52.6 bilion pada 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada peruntukan itu, sejumlah RM2.3 bilion ringgit disediakan untuk memastikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik dapat disediakan di semua sekolah.

Katanya, ia meliputi naik taraf bangunan dan infrastruktur di 380 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk kesegeraan.

“Peruntukan turut melibatkan kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah seperti pembaikan tandas, pendawaian dan saliran sekolah serta menggantikan perabot dan peralatan asrama serta kelas yang sudah uzur.

“Selain itu, sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas akan dilengkapkan dengan kemudahan mesra orang kelainan upaya (OKU). Kerajaan juga akan membina dewan terbuka bagi menyediakan keselesaan untuk anak-anak berhimpun,” katanya.

image is not available
Jumlah itu meliputi naik taraf bangunan dan infrastruktur di 380 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk kesegeraan - Gambar Fail

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sejumlah RM560 daripada peruntukan itu akan disalurkan bagi membina tujuh sekolah baharu, termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Dusun di Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Denai Alam (Selangor), SMK Nabalu (Sabah) dan SMK Dudong (Sarawak).

Menerusi pembentangan sama, beliau mengumumkan bahawa kerajaan akan membekalkan 50,000 komputer riba untuk semua sekolah dan institusi Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tahun 2023.

“Peranan guru adalah penting dalam mendidik dan memanusiakan anak-anak.

“Selari dengan arus pemodenan, keperluan pengajaran dan pembelajaran guru perlu segera beradaptasi dengan teknologi digital, maka bagi tahun 2023, kerajaan akan membekalkan sekolah dan institusi pendidikan KPM dengan 50,000 komputer riba, Insya-Allah,” katanya. – Getaran, 24 Februari 2023