KPM Wajibkan Lencana Jalur Gemilang Di Seragam Pelajar Mulai April 2025

27 Mar 2025 • 10:51 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Pelajar Terima Dua Lencana Jalur Gemilang Percuma daripada KPM

KPM Wajibkan Lencana Jalur Gemilang Di Seragam Pelajar Mulai April 2025. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini mengumumkan bahawa setiap pelajar akan menerima dua lencana Jalur Gemilang secara percuma bagi sesi persekolahan 2025/2026. Inisiatif ini melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi, dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.

Menurut kenyataan KPM, langkah ini bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan pelajar serta warga pendidik. “Usaha ini selaras dengan peranan institusi pendidikan dalam memupuk kebanggaan nasional dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda,” jelas kenyataan itu.

image is not available

Pelajar dilarang mengubah saiz, bentuk, warna, atau kedudukan lencana tersebut

Terdahulu, media melaporkan mulai 21 April 2025, semua pelajar di institusi pendidikan di bawah KPM diwajibkan memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam mereka. Arahan tersebut berdasarkan satu pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan, setelah mendapat kelulusan Kabinet pada 14 Februari 2025.

Menurut garis panduan tersebut, pelajar perlu memakai lencana Jalur Gemilang berukuran panjang 5cm dan lebar 2.5cm pada sebelah kanan pakaian seragam mereka, selari dengan tanda nama. Pelajar dilarang mengubah saiz, bentuk, warna, atau kedudukan lencana tersebut serta wajib menggantikan lencana yang lusuh atau pudar dengan yang baru.

Selain pakaian seragam formal sekolah, pemakaian lencana Jalur Gemilang juga diwajibkan pada pakaian sukan, pakaian tradisional seperti batik dan baju Melayu, seragam badan beruniform serta baju korporat kolej vokasional.

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) turut diminta untuk menjalankan program kesedaran mengenai nilai-nilai kenegaraan di sekolah serta memantau pelaksanaan arahan ini.

Baca juga cerita semasa di bawah: