
KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memulakan prosiding komital di Mahkamah Tinggi di sini, terhadap blogger kontroversi, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Razarudin selaku plaintif memohon untuk memulakan prosiding komital atau menghina mahkamah itu pada 24 Januari lalu, dengan mendakwa Wan Muhammad Azri sebagai defendan, tidak mematuhi perintah injunksi pada 10 Januari lalu.
Berdasarkan notis permohonan ex-parte yang difailkan, plaintif memaklumkan, bekas Exco Pemuda Umno berusia 42 tahun itu membuat hantaran terhadap Razarudin di media sosial.
Plaintif mendakwa, defendan mengadakan siaran langsung melalui akaun media sosialnya iaitu Youtube (Sir Azri), Tiktok (Azri Brotherhood) dan X (Sir Azri) pada jam 10 malam, 14 Januari.
Dalam siaran berkenaan, beliau berkata, defendan menerbitkan, menyiarkan, membuat kenyataan fitnah terhadap plaintif secara terang dan nyata.
Razarudin berkata, defendan juga menerbitkan atau menyiarkan gambar plaintif yang telah disunting menjadi imam atau tok kadi, di akaun Telegram Sir Azri, dengan kapsyen 'Datuk Nikah Kahwin' pada 15 Januari.
Sementara itu, peguam, Raam Kumar yang mewakili Razarudin mengesahkan permohonan prosiding komital itu dan memaklumkan ia akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong pada 10 Februari depan.
“Sekiranya mahkamah membenarkan prosiding komital tersebut, pihak kami akan menyerahkan notis permohonan itu kepada pihak defendan,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Pada 26 Disember tahun lalu, Razarudin memfailkan notis tuntutan saman bernilai RM3 juta terhadap Wan Muhammad Azri atas dakwaan memfitnah yang melabelkannya sebagai penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Razarudin menuntut ganti rugi fitnah lisan dan bertulis, ganti rugi am, teruk/ teladan serta khas termasuk perintah injunksi bagi menghalang defendan sama ada secara sendiri atau pekerja atau mana-mana pihak lain daripada mengeluarkan kenyataan dan kata-kata dianggap fitnah selain menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.
Ketua Polis Negara juga menuntut defendan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan atau memadamkan serta memusnahkan kesemua video, penerbitan dan mesej atau material yang merupakan fitnah oleh defendan.
Plaintif turut menuntut defendan membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan melalui semua akaun laman sosial, media massa dan dalam talian dengan kandungan permohonan maaf harus dipersetujui terlebih dahulu oleh plaintif.
Pada 10 Januari lalu, Razarudin berjaya dalam permohonannya untuk menghalang blogger itu mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya, sehingga kes saman diputuskan oleh mahkamah.
Ia selepas Gan membenarkan permohonan injunksi inter-parte atau dua pihak oleh Razarudin dalam saman itu.


