KPN hargai pengorbanan pegawai, anggota bertugas ketika Aidilfitri

LocalPolitics
29 Mar 2025 • 1:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Razarudin Husain

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara menzahirkan penghargaan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan bertugas sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pengorbanan anggota yang sanggup meninggalkan keluarga demi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara sentiasa terpelihara amat dihargai.

"Kami tidak memandang ringan pengorbanan anda. Kami sedar bahawa anda telah meninggalkan keluarga di rumah dan bekerja tanpa henti sepanjang musim Aidilfitri ini.

"Harapan saya adalah agar anda semua melaksanakan tugas dengan selamat serta dikurniakan kesihatan yang baik supaya dapat kembali ke pangkuan keluarga sebaik sahaja operasi yang sedang dijalankan selesai,” katanya pada Sabtu.

Razarudin turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat pulang ke kampung halaman kepada semua yang memulakan perjalanan.

"Pastikan anda cukup rehat dan kenderaan diselenggara dengan baik serta berada dalam keadaan selamat untuk dipandu.

"Rancang perjalanan dengan teliti dan sentiasalah bersabar serta berhemah di jalan raya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 7,000 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang Op Selamat bermula 29 Mac hingga 3 April ini.

"Kesemua pegawai dan anggota yang bertugas ini akan memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.

"Orang ramai diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggarnya," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved