KPN komited rapatkan jurang sosial, Aaron Ago imbas pencapaian 2025

LocalPolitics
30 Dec 2025 • 3:57 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menjelang penutup tahun 2025, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang tampil mengimbas kembali usaha dan komitmen Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam memperkukuh perpaduan rakyat serta merapatkan jurang sosial yang masih wujud dalam masyarakat Malaysia.

Pelbagai inisiatif rapatkan jurang sosial tanpa kira latar belakang

Menerusi satu perkongsian, beliau menjelaskan bahawa sepanjang tahun ini, KPN telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang berpaksikan prinsip kebersamaan demi komuniti dan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Sepanjang tahun ini, Kementerian Perpaduan Negara telah berusaha sedaya upaya mengangkat, mewujudkan dan melaksanakan pelbagai inisiatif berpaksikan satu prinsip yang sangat dekat di hati saya ‘untuk komuniti, untuk semua’,” katanya.

image is not available

Jurang sosial & perpaduan bukan sesuatu yang mudah diukur melalui angka

Menurut Aaron lagi, perpaduan bukan sesuatu yang mudah diukur melalui angka atau statistik, sebaliknya perlu dilihat melalui perubahan sikap, nilai dan interaksi sesama rakyat dalam kehidupan seharian.

“Perpaduan bukan suatu kejayaan yang mudah diukur. Ia tidak terpapar dalam graf atau statistik,” ujarnya.

image is not available

KPN pupuk perpaduan bukan dengan cara paksaan

Walau bagaimanapun, beliau akui negara masih berdepan cabaran sosial yang kompleks, termasuk kewujudan 10 defisit sosial utama yang menjadi realiti hari ini.

Namun, pendekatan KPN adalah untuk memupuk perpaduan secara berterusan, bukan melalui paksaan.

“Seperti yang sering saya tekankan, perpaduan itu ibarat sama seperti agama.
“Ia tidak boleh dipaksa.
Ia perlu dipupuk dengan kesedaran, disemai dengan empati, dan dikuatkan melalui intervensi yang berterusan,” katanya lagi.

image is not available

Sepanjang 2025, KPN memberi fokus kepada usaha merapatkan jurang sosial di samping meraikan kepelbagaian budaya, adat resam, perayaan dan warisan yang menjadi kekuatan serta jati diri negara.

Dalam masa sama, Aaron turut menyentuh cabaran baharu seperti fragmentasi sosial, polarisasi digital dan hakisan identiti nasional dalam era globalisasi.

2026 fasa penting KPN gerakkan visi selari RMK-13

Susulan daripada itu, melangkah ke tahun 2026, beliau menyifatkan ia sebagai fasa penting apabila KPN bakal menggerakkan visi baharu selari dengan RMK-13, iaitu membina negara bangsa berasaskan perkongsian identiti nasional.

Aaron percaya perpaduan akan terus menjadi nadi kekuatan Malaysia selagi rakyat memilih untuk memahami sebelum menilai dan bersatu sebelum berpecah.

“Negara bangsa tidak lahir dalam sekelip mata. Ia dibina daripada rasa percaya, diperkukuh oleh kasih sayang, dan dipelihara melalui kesediaan rakyat untuk saling memahami walau berbeza warna kulit, bahasa dan kepercayaan.
“Kuncinya, perkongsian identiti nasional,” jelasnya.

image is not available

Artikel lain: Komuniti lebih kuat! Dewan Rakyat lulus pindaan Rukun Tetangga 2025 – Aaron Ago

Mengakhiri perkongsian, beliau merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga KPN atas dedikasi dan pengorbanan sepanjang tahun, sambil menyifatkan usaha membina perpaduan sebagai amanah berterusan demi masa depan negara.