
PETALING JAYA: Menteri baru Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) harus memberi tumpuan terhadap usaha memperluaskan pasaran, memastikan kebolehpasaran produk, usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penggunaan inovasi dan teknologi, kata Datuk Zuraida Kamaruddin.
Mengambil contoh dua komoditi utama negara, minyak sawit dan getah, KPPK boleh pada masa hadapan, mengusahakan penyatuan ladang-ladang sawit dan estet- estet getah di bawah satu bumbung untuk membolehkan pelaksanaan satu sistem pengurusan yang berkesan dan mampan, jelasnya.
“Memandangkan harga minyak masak di pasaran runcit negara kita masih dianggap tinggi, saya ingin mengesyorkan pelaksanaan langkah memperkemaskan program subsidi minyak masak di bawah hanya satu agensi, contohnya di bawah KPPK, supaya proses pengagihannya berubah lebih baik dengan harga sentiasa dalam kawalan, berbanding diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“saya sangat-sangat menggalakkan menteri yang bakal dilantik menerajui KPPK di bawah kerajaan baharu untuk melihat kepada apa yang saya sifatkan sebagai produk-produk komoditi yang kini di ambang potensi.
Komoditi-komoditi yang semakin berkembang seperti nanas, kelapa dan durian, semuanya mempunyai potensi untuk dieksport jika diuruskan dengan baik dan sewajarnya di bawah peranan KPPK sebagai kementerian komoditi penjana hasil.
Potensi baharu sedemikian perlu diberi perhatin, selain daripada fokus utama KPPK dalam memastikan pengeluaran dan pemasaran hasil-hasil utama seperti minyak sawit, kayu kayan, koko, lada dan gentian serat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zuraida juga berterima kasih kepada kepada 4,589 pengundi Parlimen Ampang yang menyokong Parti Bangsa Malaysia (PBM).



