
SHAH ALAM: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) menerusi inisiatif ‘KPS WeCare’ menyantuni 800 pelarian dan komuniti B40 dengan memberi sokongan dari aspek pencegahan, pengesanan awal dan pengurusan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit.
Pengarah Perhubungan Pelaburan, Kemampanan dan Komunikasi KPS Berhad Zul Mawardi berkata iKPS WeCare menekankan tentang kepentingan kebersihan diri dalam pencegahan, pengesanan dan pengurusan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit seperti taun dan malaria.
Zul berkata inisiatif itu memberi tumpuan kepada komuniti pelarian di Selayang dan Meru yang dikenal pasti oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai kawasan pelarian paling padat di Selangor, manakala Sabak Bernam dan Pelabuhan Klang dipilih bagi kawasan kumpulan B40 paling terkesan di luar bandar yang dikenal pasti oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata KPS WeCare mengandungi tiga inisiatif utama iaitu saringan kesihatan asas dan komprehensif oleh pasukan perubatan sokongan, bengkel penjagaan kesihatan dan kebersihan, serta program kesukarelawanan penjagaan komuniti.
“Inisiatif pertama menawarkan perkhidmatan klinik bergerak kepada komuniti terkesan dengan menjalankan saringan kesihatan asas dan komprehensif bagi mengenal pasti gejala umum gangguan fizikal dan mental paling biasa dihadapi individu. Ia bertujuan mencegah perkembangan penyakit, selain mengurangkan gejala keresahan dan kemurungan,” katanya menerusi kenyataan.
Zul berkata KPS WeCare juga menyediakan platform bagi pelarian yang tidak berdaftar untuk mendaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dengan membuka kaunter pendaftaran semasa program saringan kesihatan.
Sementara itu, kesukarelawanan penjagaan komuniti pula menggalakkan masyarakat menjaga kebersihan persekitaran mereka menerusi penganjuran program kebersihan dan kitar semula bagi mengurangkan penularan penyakit serta meningkatkan tahap kesihatan.
Bengkel penjagaan kesihatan dan kebersihan pula mendidik masyarakat mengenai kebersihan serta kepentingan mengambil makanan sihat bagi membantu mencegah wabak penyakit berjangkit dalam komuniti dan kawasan sekitar.
Menurut Zul kesemua inisiatif berkenaan adalah bukti komitmen dan tindakan KPS Berhad untuk mencapai kelestarian sosial selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).
“KPS Berhad komited ke arah pembangunan mampan. Apabila perniagaan kami berkembang, kami juga mahu memastikan komuniti tempat kami beroperasi turut berkembang,” katanya. -Bernama
