KPT Anjur GHEF2023, Bincang Isu Ekosistem Pendidikan Tinggi & Pemulihan Pasca Pandemik

15 Nov 2023 • 2:07 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) anjur Forum Pendidikan Tinggi Global 2023 (Global Higher Education Forum 2023 [GHEF2023]) bermula hari ini sehingga 17 November di Mövenpick Hotel and Convention Centre KLIA, Sepang.

image is not available

Menerusi satu kenyataan, GHEF2023 merupakan platform untuk pelbagai pihak berkepentingan untuk membincangkan isu-isu yang dihadapi ekosistem pendidikan tinggi dan menggalakkan wacana mengenai pendidikan tinggi.

Selain itu, forum ini juga dijalankan bagi menangani cabaran yang berkaitan, membangunkan penyelesaian yang berpotensi dan cadangan dasar.

KPT anjur GHEF2023

image is not available

Ia melibatkan penyertaan hampir 1,000 perwakilan daripada 17 negara dan menyediakan ruang untuk mempertimbangkan konsep, pengalaman, amalan dan pertukaran pengetahuan.

Pada masa yang sama, wakil-wakil dari 17 negara ini juga berkongsi penemuan penyelidikan mengenai pelbagai isu dalam pendidikan tinggi dari pelbagai negara, konteks, dan perspektif.

Forum ini merupakan acara dwitahunan dan pada tahun ini ia mengangkat tema ‘Pemulihan Ekuiti – Pendidikan Tinggi Dalam Era Pasca Pandemik’.

Tema tahun ini akan memfokuskan kepada usaha memajukan dan memelihara kesaksamaan dalam sektor pendidikan tinggi, terutama dalam era pasca pandemik COVID-19.

Pihak KPT memilih tema tersebut berikutan kesan domino pandemik COVID-19 terhadap ekosistem pendidikan tinggi nasional dan juga global.

image is not available

Hal ini kerana, dikhuatiri pandemik telah melebarkan jurang akses, sumber dan peluang pembelajaran, terutama bagi pelajar daripada kumpulan terpinggir seperti orang kelainan upaya (OKU), orang asli dan keluarga berpendapatan rendah.

Delegasi yang hadir ke forum ini terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, sarjana muda (pelajar pasca siswazah), pegawai kerajaan, pembuat dasar, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri dari institusi tempatan dan antarabangsa.

Antara pengisian forum tersebut ialah 15 penceramah pakar tempatan dan antarabangsa yang membincangkan tajuk jurang digital, pekerjaan dan pembangunan bakat, dan kemajuan dasar sosio-ekonomi dan pendidikan tinggi.

image is not available

Disamping itu, GHEF2023 turut menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU), dan Simposium Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ia juga menyaksikan satu perjanjian mercu tanda ‘Joint Action Roadmap’ (JAR) yang akan ditandatangani antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pusat Penyelidikan Pembangunan Pendidikan Tinggi (CHEDR) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, Sains dan Inovasi Uzbekistan.