
KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bahawa pelajar orang kurang upaya (OKU) yang didakwa dinafikan hak memohon kemasukan ke universiti awam (UA) kerana menghidap autisme akan tetap ditawarkan tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, berkata beliau telah mengarahkan siasatan terhadap kes itu dan memastikan ia akan diselesaikan dalam masa terdekat.
“Hal yang berlaku kepada pelajar OKU berkenaan akan dikendalikan, insya-ALLAH. Kita akan pastikan beliau dapat belajar di salah satu IPTA yang diminta. Terkini, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga sedang meneliti kes ini untuk melihat kesesuaian penempatan,” katanya pada sesi sidang Dewan Rakyat di sini, Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan oleh Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta penjelasan mengenai kes pelajar itu serta langkah kementerian membantu pelajar OKU cemerlang mendaftar ke universiti.
Sebuah pertubuhan kesihatan mental sebelum ini menyuarakan kebimbangan berhubung insiden seorang pelajar dikenali sebagai Aniq yang dilaporkan tidak dibenarkan memohon penempatan di universiti awam kerana menghidap autisme.
Menurut hantaran di Facebook, Aniq mempunyai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) matrikulasi 3.83 dan memenuhi syarat am serta khas program yang dipohon.
Namun, pilihan programnya hilang ketika fasa seterusnya melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU).
Zambry menegaskan kerajaan memegang dasar tiada individu yang mempunyai kelayakan akademik akan didiskriminasi daripada mendaftar di universiti awam.
Katanya, universiti biasanya memerlukan pengesahan jenis ketidakupayaan pelajar bagi menyesuaikan kemudahan mengikut keperluan pelajar.
“Isu yang berlaku ialah beliau memohon atas nama OKU dan ada universiti yang ingin mengetahui jenis OKU supaya penyesuaian boleh diberikan berdasarkan keadaan beliau,” ujarnya.
