
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap Agensi Perunding Hutang (APH) yang didapati menggunakan kaedah kutipan hutang menyerupai along dalam mengutip bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pemantauan dilakukan bagi memastikan tindakan agensi berkenaan tidak melampaui batas sehingga menzalimi peminjam.
Beliau berkata, sebarang laporan berkaitan tindakan kutipan hutang ala along akan diberikan perhatian dan tindakan sewajarnya.
“Apabila ada laporan berkaitan tindakan-tindakan ala along itu, maka kita akan mengambil tindakan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, tindakan kutipan hutang sebelum ini hanya melibatkan peminjam yang culas selama lebih 10 tahun dan tidak pernah memaklumkan keadaan mereka kepada pihak PTPTN.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan sentiasa membuka ruang kepada peminjam untuk berbincang dengan PTPTN, khususnya mereka yang berdepan masalah kewangan.
“Kita tahu keadaan ekonomi mereka. Pendekatan kita dalam PTPTN bukan hendak menzalimi mereka. Sebab itulah saya memohon supaya mereka datang berbincang dan memberitahu mengenai keadaan ekonomi masing-masing,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan menerusi Belanjawan 2027 mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi peminjam berpendapatan RM2,500 sebulan dan ke bawah.
Peminjam berpendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000 sebulan pula dikenakan bayaran balik minimum RM50, manakala mereka yang tidak mempunyai tunggakan serta membuat bayaran secara teratur layak menerima diskaun 10 peratus.
Kerajaan turut menyediakan potongan cukai kepada majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja. – KOSMO! ONLINE
The post KPT pantau Agensi Perunding Hutang, elak kutipan PTPTN ala along appeared first on Kosmo Online.






